Pasukan khas tambah baik budaya kerja perkhidmatan kesihatan, kata KJ

Pasukan khas tambah baik budaya kerja perkhidmatan kesihatan, kata KJ

Pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan bekas ketua setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Dr Siti Hamisah Tapsir.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, bidang tugas pasukan petugas khas merangkumi aspek budaya kerja serta pengurusan sumber manusia kakitangan kesihatan untuk memastikan penyampaian mutu perkhidmatan berkualiti serta professional. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan pasukan petugas khas bebas yang dinamakan Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan atau Healthcare Work Culture Improvement Task Force (HWCITF) hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, bidang tugas pasukan itu akan merangkumi aspek budaya kerja serta pengurusan sumber manusia kakitangan kesihatan untuk memastikan penyampaian mutu perkhidmatan berkualiti serta professional.

Katanya, penubuhan pasukan itu adalah susulan insiden melibatkan kematian seorang pegawai perubatan siswazah (PPS) di Hospital Pulau Pinang (HPP) serta laporan dan aduan yang diterima berkaitan kejadian buli serta masalah tekanan mental yang dihadapi, bukan sahaja oleh PPS, malah kakitangan perkhidmatan kesihatan semasa melaksanakan perkhidmatan mereka.

Khairy berkata, pasukan petugas itu akan dipengerusikan bekas ketua setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Dr Siti Hamisah Tapsir.

Katanya, pasukan itu juga akan dianggotai kumpulan pakar terdiri daripada lapan individu profesional dan pakar bidang masing-masing, iaitu Hamidah Naziadin, Dr Zabidi AM Hussin, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla, Dr Amer Siddiq Amer Nordin, Dr Chong Su-Lin, Manvir Victor, Sivaramakrishnan Balasubramanian dan wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Katanya, pasukan itu akan membuat analisis dan penilaian budaya kerja, pengurusan sumber manusia kakitangan perkhidmatan kesihatan secara umum dan PPS secara khusus.

“Kumpulan itu juga akan menganalisis maklumat dan hasil siasatan insiden kematian PPS di Hospital Pulau Pinang, memanggil dan mendapatkan penerangan tentang budaya kerja serta proses pengurusan sumber manusia bagi perkhidmatan kesihatan secara umum dan PPS secara khusus,” katanya.

Khairy berkata, pasukan itu akan mencadangkan lantikan pihak perunding berkaitan kepada KKM bagi tujuan menyokong fungsi dan peranan HWCITF jika perlu.

“Menjalankan kaji selidik serta analisis berkaitan, menyediakan laporan penilaian serta cadangan penambahbaikan budaya kerja dan pengurusan sumber manusia kakitangan perkhidmatan kesihatan, secara umum dan PPS secara khusus untuk dibentangkan kepada menteri kesihatan dalam tempoh dua bulan dari tarikh penubuhan,” katanya.

Katanya, KKM komited dalam usaha memperbaiki suasana kerja kakitangan perkhidmatan kesihatan secara amnya dan menghapuskan budaya kerja toksik di fasiliti kesihatan KKM.

“Saya juga akui usaha ini memerlukan sedikit masa untuk membuahkan hasil tetapi ingin saya tegaskan bahawa suasana kerja yang kondusif dan harmoni bermula dengan menghormati, menyokong dan sama-sama membantu rakan sekerja kita. Sekarang bukan masanya untuk kita berbalah, bukan masanya untuk menuding jari.

“Kita telah melalui cabaran pandemik Covid-19 bersama-sama dan alhamdulillah berkat komitmen dan kerjasama yang erat antara semua petugas kesihatan, kita kini berada dalam fasa peralihan ke endemik,” katanya.

Beliau berkata, setiap seorang daripada petugas kesihatan, sama ada jururawat, PPS, pemandu ambulans, pegawai perubatan, pegawai perubatan pakar atau pun mereka yang merangka pelan pengurusan pandemik telah melakarkan satu sejarah penting dalam episod Covid-19.

Media sebelum ini melaporkan seorang PPS yang ditempatkan di HPP pada 4 April lalu, dipercayai terjatuh dari tingkat 23 pangsapuri yang disewanya di Jalan Datuk Keramat, George Town pada 17 April lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.