
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Mohamad Norza Zakaria berkata, keputusan itu dipersetujui sebulat suara oleh ahli majlis SEAGF pada mesyuarat yang berlangsung hari ini.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada SEAGF atas kepercayaan mereka kepada MOM untuk menganjurkan temasya Sukan SEA.
“MOM akan membuat janji temu untuk memaklumkan secara rasmi mengenai perkara ini kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu apabila kembali ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Ini adalah kali ketujuh Malaysia diberi tanggungjawab menjadi tuan rumah Sukan SEA. Malaysia sebelum ini pernah menjadi tuan rumah temasya itu pada 1965 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.
Pada 1965 dan 1971 temasya itu dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) dan hanya pada 1977 ia mula dikenali sebagai Sukan SEA.
MOM pernah menyatakan minat untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 tahun lalu berikutan penarikan diri Brunei.
Temasya Sukan SEA ke-31, yang ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19, kini dianjurkan di Hanoi, Vietnam bermula 12 hingga 25 Mei.
Kemboja dijadualkan menjadi tuan rumah buat julung kalinya tahun depan pada 5 hingga 16 Mei manakala Thailand pula bakal menjadi penganjur pada edisi 2025.