Bapa remaja rempuh mati pemotong rumput disaman

Bapa remaja rempuh mati pemotong rumput disaman

Polis sedang melengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya.

Bapa seorang remaja disaman memandangkan kenderaan dipandu anaknya adalah miliknya dalam kejadian mengakibatkan seorang pemotong rumput maut pada Sabtu.
PETALING JAYA:
Bapa kepada remaja yang merempuh mati seorang pemotong rumput menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) sudah dikenakan tindakan saman, kata Ketua Polis Kuala Muda Zaidy Che Hassan.

Beliau berkata, saman itu dikeluarkan pihaknya kerana bapa remaja itu merupakan pemilik kenderaan berkenaan.

“Setakat ini, bapa kepada remaja terbabit yang juga pemilik kenderaan sudah dikenakan tindakan saman,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Dalam pada itu Zaidy berkata, pihaknya masih dalam proses melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu dan kini sedang menunggu laporan bedah siasat terhadap mangsa, selain laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Jika kedua-dua laporan ini sudah diperoleh, kertas siasatan akan dilengkapkan dan kita akan merujuknya kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Sabtu lalu, Zaidy berkata, remaja itu dipercayai memandu kenderaan berkenaan tanpa pengetahuan bapanya yang menghadiri majlis perkahwinan.

“Kita difahamkan kunci kenderaan ditinggalkan di rumah dan kesempatan itu diambil oleh remaja itu untuk memandu MPV terbabit tanpa pengetahuan bapanya,” katanya.

Dalam kejadian 11 pagi Sabtu lalu, seorang pekerja pemotong rumput warga Myanmar, Cinglowpa, 20, maut akibat parah di kepala, manakala rakan senegaranya berusia 33 tahun patah bahu kanan selepas dirempuh MPV ketika sedang berehat di bahu jalan.

Ketika kejadian, mangsa yang meninggal dunia sedang duduk atas rumput, manakala rakannya yang parah pula berada atas motosikal yang diletakkan di bahu jalan.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, bukan hanya pemandu, malah pemilik kenderaan turut berdepan tindakan tegas sekiranya membenarkan individu tidak cukup umur dan tidak memiliki lesen memandu kenderaan milik mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.