
Beliau berkata, wujud keperluan untuk perubahan sebenar oleh individu berkebolehan dan berintegriti yang tidak perlu akur kepada cita-cita parti dan “hulubalang” politik di Parlimen.
“Saya sedar bahawa memberikan tanggungjawab itu kepada parti politik tidak membuahkan hasil.
“Jika saya percaya dengan negara ini dan rakyatnya, saya sendiri mesti mengorak langkah,” katanya pada pelancaran Pusat Khidmat Siti Kasim di Sentul hari ini.
Katanya, beliau tidak yakin dengan peluang calon Gerak Independent pada PRU15, namun akan berpuas hati dapat bertanding.
“Apa yang kami pegang adalah prinsip kami dan tonggak yang kami pertahankan untuk manfaat semua rakyat Malaysia.
“Saya buat ini (bertanding) kerana sekurang-kurangnya saya telah cuba,” katanya.
Beliau berkata, mendorong perubahan akan mengambil masa dan ia mungkin tidak menjadi kenyataan melalui kitaran pertama Gerak dalam pilihan raya. Namun tegasnya, penting agar usaha itu dimulakan.
“Apa pilihan yang kita ada? Apabila rakyat seperti di Batu ini bekerja keras untuk menampung kehidupan sedangkan orang berdepan tuduhan (di mahkamah) hidup senang lenang dengan hasil yang dicuri?”
Siti yang akan bertanding sebagai calon Gerak di kawasan Batu pada PRU15 berkata, pusat khidmatnya akan berfungsi sebagai pusat sehenti di mana penduduk Batu dapat berkongsi kebimbangan mereka dan mendapatkan nasihat percuma.
Pusat khidmat itu akan dibuka kepada orang ramai pada hari bekerja dari 10 pagi hingga 4 petang mulai 16 Mei.