
Situasi itu dialami lebih 20,000 ahli Kelab Generasi Transformasi Ruminan (GTR), kebanyakannya terdiri daripada penternak ruminan, yang semakin terhimpit dengan dasar dan polisi JPV yang disifatkan “hanya retorik”.
Malah tiada perkembangan positif yang dilihat berlaku, terutama bagi bidang lembu pedaging dan kambing dalam tempoh 10 tahun ini, kata Timbalan Presiden Kelab GTR Nordin Mat.
“JPV hanya berperanan menguat kuasa undang-undang dan masih kekal dengan dasar dan polisi hanya menyusahkan penternak sedangkan pembangunan industri langsung tidak kelihatan, sekadar dirancang semata-mata tanpa pelan tindakan,” katanya lapor Utusan Malaysia.
Menurutnya, jabatan itu sepatutnya bukan hanya memberi perkhidmatan dan penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya mengubah fokus pembangunan keseluruhan industri ruminan negara.
“Dasar Agromakanan Negara 2.0 yang dilancarkan awal tahun ini oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan adalah retorik semata-mata.
“Apatah lagi mahu meningkatkan kadar sara diri (SSL) daging lembu diletakkan sehingga 50% dalam tempoh lima tahun akan datang,” kata Nordin.
Angka SSL 23% oleh JPV juga jauh daripada sasaran sebenar, tambahnya.
“Hanya pengimportan dan penyeludupan ternakan dari luar negara (dapat) menampung keperluan dan permintaan negara terutama bagi tujuan ibadah akikah dan korban,” katanya.
Katanya, pihak JPV perlu melihat semula pelbagai polisi seperti prosedur operasi standard (SOP) pemindahan ternakan antara negeri yang merumitkan, walaupun dengan sistem e-permit
.
Selain itu katanya, SOP kawalan penyakit yang menganiaya penternak turut perlu diubah kerana hakikatnya ia langsung tidak dapat mengawal penyakit.
Import permit ayam dan daging yang tidak terkawal juga boleh menjejaskan penternak tempatan dan industri ini secara tidak langsung, katanya.
“Sekiranya keadaan ini berterusan, industri yang semakin malap dan dihimpit pelbagai faktor lain seperti kenaikan kos makanan sangat tinggi, bekalan ternakan semakin mahal, tenaga pekerja yang semakin sukar, maka industri ini sebenarnya sedang menghala ke arah kepupusan.
“Negara akan terus bergantung sepenuhnya kepada ternakan import selain bekalan daging semakin bergantung kepada India, Australia dan Amerika Latin yang juga semakin mahal,” katanya.