
Berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, beliau turut mengumumkan RUU lain termasuk pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya, Ombudsman dan akta kebebasan maklumat.
Anwar berkata RUU mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan perdana menteri selama 10 tahun itu antara langkah reformasi institusi dilaksanakan kerajaan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini.
“Semua orang ada had tempohnya… KSN (ketua setiausaha negara) tidak boleh sampai puluh tahun, juga terpakai untuk semua kerana kalau diberikan tempoh dan dalam tempoh itu mampu melaksanakan, selepas itu elok kita serahkan kepada generasi berikutnya.
“Ini juga terpakai kepada Jabatan Perdana Menteri, maka kita akan membentangkan RUU mengehadkan tempoh bagi jawatan perdana menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh,” katanya.
Anwar pada Mac 2025 menegaskan kerajaan memegang janji melaksana agenda reformasi termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.
Beliau dipetik berkata proses itu perlu dilaksana dengan rapi dan memerlukan konsensus semua parti serta sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.
Tahun lalu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berharap kerajaan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 24 bulan bagi melaksanakan janji terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada PRU15.