Usno parti terbaharu sertai GRS, yang lain tunggu dulu, kata Hajiji

Usno parti terbaharu sertai GRS, yang lain tunggu dulu, kata Hajiji

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata Usno memohon menyertai GRS sejak Januari 2021 dan keputusan menerima parti itu dibuat pada mesyuarat ahli majlis tertinggi gabungan berkenaan hari ini.

Hajiji Noor (duduk dua dari kanan) bersama pemimpin GRS lain pada sidang media selepas mesyuarat ahli majlis tertinggi gabungan itu di Menara Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU:
Usno yang dipimpin bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia menjadi parti terbaharu menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, Usno memohon menyertai GRS sejak Januari 2021 dan keputusan menerima parti itu dibuat pada mesyuarat ahli majlis tertinggi (AMT) gabungan berkenaan hari ini.

Katanya, keputusan berhubung permohonan beberapa lagi parti iaitu Kemakmuran Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS) setakat ini masih lagi dalam perbincangan.

“Keputusan kita pada mesyuarat hari ini ialah untuk terima Usno yang telah memohon menyertai GRS pada Januari 2021, setahun setengah mereka menunggu.

“Kita juga telah menerima permohonan daripada KDM, LDP dan PCS, kita amat hargai permohonan mereka tapi biarlah kita bentuk persefahaman yang baik dulu.

“Bagaimanapun sebagai tanda penghargaan (kepada KDM, LDP dan PCS), kita akan libatkan mereka dalam program GRS dan kita juga akan menjemput mereka ke majlis pelancaran GRS pada 26 Mei nanti,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat AMT GRS di Menara Kinabalu.

Hadir sama Presiden PBS Maximus Ongkili, Presiden Star Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP Yong Teck Lee.

Terdahulu, Hajiji yang juga pengerusi GRS berkata, majlis pelancaran gabungan itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Katanya, pelancaran itu nanti bakal menjadi satu lagi era baharu politik Sabah apabila GRS ditonjolkan kepada rakyat.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai status Perikatan Nasional (PN) di Sabah, Hajiji hanya menjawab ringkas “kita tumpu GRS dulu”.

Status PN di Sabah sebelum ini menjadi tanda tanya susulan ketiadaan PAS dalam senarai rasmi GRS sedangkan Bersatu, SAPP dan Star yang merupakan ahli PN menjadi parti rasmi dalam GRS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.