Maria Chin fail rayuan terhadap hukuman penjara 7 hari, keputusan bersalah

Maria Chin fail rayuan terhadap hukuman penjara 7 hari, keputusan bersalah

Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman berkenaan bulan lalu selepas mendapati ahli Parlimen Petaling Jaya itu bersalah kerana menghina sistem kehakiman Islam.

Mari Chin Abdullah didapati bersalah menghina mahkamah selepas mengkritik keputusan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman penjara ke atas bekas isteri ahli perniagaan kerana tidak mematuhi perintah mahkamah mengenai hak melawat.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah memfailkan rayuan terhadap hukuman penjara tujuh hari kerana “menghina” sistem kehakiman Islam.

Bulan lalu, Mahkamah Tinggi syariah mendapati Maria bersalah menghina mahkamah apabila mengkritik keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas bekas isteri ahli perniagaan yang tidak mematuhi perintah mahkamah berhubung hak melawat.

Bercakap kepada FMT, peguamnya, Zeti Zulfah berkata, ahli Parlimen itu juga merayu untuk membatalkan keputusan bersalah terhadapnya.

“Pada asasnya, kami mencabar hukuman yang dijatuhkan kepada Maria,” katanya selepas memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan syariah.

“Buat masa ini, kami tidak tahu bila perbicaraan akan diadakan atau bila kami perlu memfailkan penghujahan. Mahkamah akan memproses permohonan itu dan memberitahu kami tarikhnya kemudian.”

Pada 5 Sept 2019, Maria mengeluarkan kenyataan yang mengatakan: “Wanita Islam masih didiskriminasi bawah sistem perundangan syariah Malaysia.”

Beliau berkata, keputusan mahkamah syariah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap bekas isteri pengerusi bersama kumpulan Naza SM Faisal SM Nasimuddin, Emilia Hanafi kerana tidak mematuhi perintah mahkamah berhubung hak melawat Faisal adalah “ketidakadilan yang besar” dan “menghina sepenuhnya sistem kehakiman”.

Dalam keputusan Mahkamah Tinggi Syariah pada 25 April, hakim Fouzi Mokhtar berkata, Maria telah gagal untuk mewajarkan kenyataan medianya, yang dimuatkan di laman webnya dan platform media sosial lain, tidak menggugat sistem kehakiman Islam.

Fouzi berkata, Maria membuat kesimpulan “mudah” mengenai kes perceraian Emilia dan Faisal tanpa bukti, membenarkan penangguhan pelaksanaan hukumannya.

Maria tahun lalu memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi sivil untuk membatalkan perintah mahkamah syariah yang membenarkan Faisal memulakan prosiding menghina terhadapnya, yang didakwanya dibuat dengan niat jahat.

Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan Maria untuk memulakan cabaran undang-undang terhadap perintah penghinaan pada 26 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.