Lantikan Sulaiman ikut janji PRN Melaka, kata exco

Lantikan Sulaiman ikut janji PRN Melaka, kata exco

Exco Melaka Abdul Razak Abdul Rahman berkata jika benar desas-desus mendakwa Sulaiman Md Ali dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan pihak terlibat dinasihatkan menyelesaikan secara perundingan dalaman.

Semalam media melaporkan khabar angin mendakwa Sulaiman Md Ali dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai ketua menteri Melaka dalam masa terdekat, dianggap sengaja diadakan pihak tidak bertanggungjawab. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kedudukan dan pelantikan Sulaiman Md Ali selaku ketua menteri Melaka ke-13 tertakluk kepada janji pilihan raya negeri (PRN).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Melaka, Abdul Razak Abdul Rahman, berkata jika benar desas-desus mendakwa Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan, pihak terlibat dinasihatkan menyelesaikannya secara perundingan dalaman dan tidak perlu diperbesar-besarkan.

Katanya, sehingga kini, beliau tidak dapat mengesahkan kebenaran di sebalik dakwaan tersebut, sama ada benar-benar berlaku atau sekadar khabar angin.

“Jika benar pun paksaan itu wujud, yang setakat ini saya pun tidak tahu. Saya ingin menasihatkan semua pihak supaya menyelesaikannya secara perundingan dalaman dan tidak perlu diperbesarkan.

“Sebagai wadah politik yang berpengalaman di negara ini, setiap keputusan yang dibuat di mana-mana peringkat adalah selari dengan pucuk pimpinan parti.

“Selama puluhan tahun, Umno telah dilanda dengan pelbagai isu, namun parti keramat ini terus kuat kerana kita mempunyai cara tersendiri dalam menyelesaikan setiap permasalahan yang dihadapi,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Semalam, media melaporkan khabar angin yang mendakwa Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai ketua menteri dalam masa terdekat, dianggap sengaja diadakan pihak tidak bertanggungjawab.

Timbalan Ketua Umno Melaka Mohamad Ali Mohamad sebelum ini berkata, lima ketua bahagian negeri sebulat suara mempertahankan ADUN Lendu itu untuk terus kekal memegang jawatan tersebut sehingga habis penggal.

Dalam pada itu, Razak berkata, fokus kerajaan negeri hari ini adalah janji pada PRN Melaka seperti mana terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN).

“Sebagai exco, saya akan berusaha sedaya-upaya untuk melunaskan janji tersebut bersama rakan yang lain. Keutamaan kami adalah untuk memastikan agar kesejahteraan rakyat Melaka secara keseluruhannya sentiasa terbela,” katanya yang juga ketua Umno bahagian Kota Melaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.