16,377 saman dikeluarkan sepanjang Op Hari Raya

16,377 saman dikeluarkan sepanjang Op Hari Raya

JPJ turut mengesan 58,182 kesalahan memandu melebihi had laju melalui kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik setakat semalam.

Lebih 16,000 saman dikeluarkan hasil pemeriksaan JPJ ke atas 89,490 kenderaan sejak penguatkuasaan penuh bermula 29 April lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 16,377 saman kesalahan jalan raya sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 di seluruh negara sehingga semalam.

Ketua Pengarah JPJ, Zailani Hashim berkata, semua saman itu dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 89,490 kenderaan sejak penguatkuasaan penuh bermula 29 April lalu.

“JPJ juga mengeluarkan 776 saman Notis P22, iaitu notis arah periksa melibatkan lima kesalahan utama, iaitu gagal mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong garisan berkembar dan memandu melebihi had laju.

“Lima kesalahan utama dalam tempoh Op HRA 2022 itu akan dikenakan tindakan mahkamah dan tidak boleh dikompaun,” katanya dipetik Bernama selepas memantau pelaksanaan Op HRA 2022 di Jalan Kota Bharu-Pasir Pekan, Tumpat malam tadi.

Zailani berkata, JPJ turut mengesan 58,182 kesalahan memandu melebihi had laju melalui kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) dalam Op HRA 2022 setakat semalam.

Kesalahan itu katanya, dikesan menerusi 45 kamera Awas membabitkan 29 kamera bagi tujuan memantau kesalahan melebihi had laju dan 16 kamera bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.