Lelaki ditahan larikan isteri orang, rempuh kereta polis

Lelaki ditahan larikan isteri orang, rempuh kereta polis

Suspek meminta bantuan daripada wanita berusia 34 tahun yang dikenali melalui aplikasi Wechat itu untuk mengambilnya di sebuah bangunan penginapan dalam daerah Manjung.

Tangkap layar video tular berdurasi 38 saat di media sosial kereta dipandu suspek dikejar kenderaan peronda polis di sekitar Sitiawan dan Seri Manjung, pagi tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan kerana didakwa melarikan isteri orang menaiki sebuah kereta sebelum dikejar polis di bandar Seri Manjung dekat Manjung, Perak, hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Nor Omar Sappi berkata, berlaku pergelutan antara anggota polis dan suspek sebelum lelaki itu berjaya ditahan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek meminta bantuan daripada wanita berusia 34 tahun yang dikenali melalui aplikasi Wechat itu untuk mengambilnya di sebuah bangunan penginapan dalam daerah Manjung.

Katanya, wanita yang bekerja sebagai juruwang itu kemudiannya meminta suami untuk mengekorinya secara berasingan kerana bimbang akan keselamatan diri.

“Sebaik tiba di lokasi, suspek menyedari kehadiran suami wanita itu dan meminta untuk memandu kereta terbabit dengan alasan ada orang sedang mengejarnya.

“Lelaki itu beranggapan suami wanita terbabit adalah pemungut hutang kerana suspek sebelum ini telah beberapa kali melarikan diri atas masalah hutang yang masih belum dijelaskan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Nor Omar berkata, suspek didapati memandu kenderaan itu secara berbahaya menghala ke Seri Manjung dan enggan berhentikan kenderaan apabila diarahkan polis peronda.

Ujarnya, suspek juga bertindak memandu melawan isyarat lalu lintas dan melanggar sebuah kenderaan peronda polis yang menghalangi jalan bagi memberhentikan kenderaan itu.

“Tiba di hadapan sebuah restoran, suspek telah memberhentikan kereta dan cuba mengambil sebuah motosikal yang berada di sana, namun tidak berjaya menyebabkan suspek bertindak masuk semula ke dalam kereta.

“Polis yang tiba cuba menahan suspek, namun berlaku pergelutan sebelum berjaya menahan suspek,” katanya.

Beliau berkata, semakan dibuat mendapati, suspek tidak bekerja dan mempunyai dua rekod jenayah lampau dalam kesalahan penyalahgunaan dadah.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing juga didapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan wanita yang bersuami dengan niat jenayah.

“Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 kanun sama kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya.

Aksi kenderaan polis mengejar kereta dipandu suspek tular di media sosial. Menerusi rakaman video tersebut, suspek enggan memberhentikan kereta meskipun diarahkan berbuat demikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.