Terpisah 50 tahun, warga emas syukur dapat berhubung semula dengan kakak

Terpisah 50 tahun, warga emas syukur dapat berhubung semula dengan kakak

Baru-baru ini, media melaporkan kisah Badliyah Din yang mencari kakaknya, Che Puteh, dan kini mereka telah dapat berhubung semula sekalipun hanya menerusi WhatsApp.

Sekalipun belum bersua muka, Badliyah Din gembira dapat berbual dan menatap wajah kakaknya, Che Puteh, menerusi panggilan video WhatsApp menjelang Aidilfitri.
PETALING JAYA:
Bagi Badliyah Din, 62, sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini amat bermakna setelah hasrat untuk mencari kakaknya yang terpisah sejak 50 tahun lepas tertunai.

Warga emas yang menetap di Felda Padang Piol, Jerantut itu masih belum dapat bersua muka dengan kakaknya, Che Puteh, namun beliau tetap gembira dapat berbual dan menatap wajahnya selama 20 minit menerusi panggilan video WhatsApp semalam.

Hubungan mereka kembali terjalin setelah Che Puteh dimaklumkan berada di Sungai Nibong, Pulau Pinang, susulan kisah Badliyah mencarinya dilaporkan media.

“Setelah terpisah pada 1973, saya langsung tidak pernah berjumpa Kak Teh dan memendam rasa rindu yang amat sangat terutamanya setiap kali Ramadhan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

“Memandangkan kami masing-masing sudah berusia lanjut, ke­rap uzur dan bila-bila masa akan kembali menghadap Allah SWT, saya bertekad mencari Kak Teh menggunakan saluran media.

Baru-baru ini, media melaporkan kisah Badliyah yang terputus hubungan dengan Che Puteh hampir 50 tahun, meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan keberadaan ahli keluarganya itu.

Difahamkan, Che Puteh menghilangkan diri daripada keluarga kemungkinan kerana “merajuk” setelah hasratnya untuk berkahwin dengan seorang lelaki yang dipercayai sudah beristeri dihalang ibu bapanya.

Badliyah berkata, selepas peristiwa itu, kakaknya dikhabarkan membawa diri dari rumah keluarga mereka di Kampung Pantai Perai, Kedah ke Pahang, dan seterusnya berada di Pulau Pinang sehingga kini.

Mengimbau kenangan bersama kakaknya, beliau menceritakan bagaimana Che Puteh kerap membeli pakaian baharu untuk adik-adiknya yang masih kecil apabila menerima gaji sebagai pekerja kilang di Pulau Pinang, selain berkorban dari segi kewangan setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Ini antara nostalgia yang paling saya tidak dapat lupakan, menyebabkan saya bertekad mencari Kak Teh untuk bertaut kembali dalam keluarga,” katanya.

“Saya bersyukur bercampur hiba kerana dapat bercakap dengan kakak. Dia kini menghidap kanser payudara dan tinggal bersama suaminya yang sudah berusia lebih 80 tahun.”

Badliyah berkata, beliau dan suaminya, Soid Bidin, 69, merancang untuk bertemu sendiri dengan Che Puteh di Sungai Nibong minggu depan dan seterusnya menjalinkan semula hubungannya dengan adik beradik lain yang tinggal di Kedah dan Perlis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.