Kecuali SST bagi limau mandarin, kurma, saran Ahli Parlimen PKR

Kecuali SST bagi limau mandarin, kurma, saran Ahli Parlimen PKR

Lee Chean Chung berkata ini tidak akan memberi kesan ketara kepada hasil negara kerana ia buah bermusim.

kurma on sale
Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung berkata perniagaan kecil dan peniaga bergantung kepada permintaan bermusim untuk buah-buahan seperti kurma bagi menampung kos operasi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menggesa Kementerian Kewangan mempertimbangkan lebih banyak buah dikecualikan daripada peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), khasnya limau mandarin dan kurma.

Beliau menyarankan pengecualian SST khas untuk dua buah itu semasa sambutan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri yang disifatkannya pendekatan fiskal bersasar sensitif kepada keperluan budaya serta agama rakyat Malaysia.

“Dua buah ini tidak dapat dipisahkan daripada sambutan perayaan utama Malaysia – Tahun Baharu Cina dan Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri.

“Melaksanakan cukai 5% ke atas buah-buahan ini bukan saja menambah beban pengguna, tetapi turut bercanggah prinsip teras di sebalik pelaksanaan peluasan SST, iaitu hanya menyasarkan kumpulan tertentu,” kata Ahli Parlimen PKR itu dalam kenyataan.

Jika dua buah itu tidak dikecualikan, beliau berkata, peluasan SST akan memberi tekanan lebih besar kepada perniagaan kecil dan peniaga bergantung kepada permintaan bermusim buah-buahan itu bagi menampung kos operasi.

Gesaan Lee itu menyusul pengumuman Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pagi tadi bahawa epal dan oren import dikecualikan daripada peluasan SST, berkuat kuasa 1 Julai ini.

Walaupun beliau percaya tiada keperluan makan buah-buahan import, Anwar mengakui ramai golongan berpendapatan B40 akan membeli epal dan oren, sebahagiannya disebabkan harganya.

Kementerian Kewangan sebelum ini berkata, peluasan SST mulai 1 Julai ini, termasuk kadar 5% ke atas buah-buahan import bertujuan meningkatkan permintaan pertanian tempatan dan mengukuhkan sekuriti makanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.