Pengusaha F&B tertekan dengan peraturan Ramadan

Pengusaha F&B tertekan dengan peraturan Ramadan

Jeremy Lim daripada Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro percaya umat Islam sendiri yang harus memikul tanggungjawab mematuhi peraturan.

Di Kuala Lumpur, menjual makanan atau minuman kepada orang Islam untuk dimakan segera ketika waktu berpuasa adalah satu jenayah mengikut Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah persatuan pemilik kedai makanan mengadu tertekan kerana dikehendaki memantau pelanggan beragama Islam pada bulan Ramadan.

Jeremy Lim, naib presiden dan pegawai perhubungan media Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro berkata, adalah sukar bagi pengusaha restoran untuk menentukan anutan seseorang dalam masyarakat yang berbilang budaya seperti di Malaysia.

Katanya, beliau percaya umat Islam sendiri yang harus memikul tanggungjawab mematuhi undang-undang yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika ditangkap makan atau minum di khalayak ramai ketika waktu berpuasa.

Lim berkata, pemilik kedai makanan pada umumnya sedar bahawa membenarkan orang Islam makan di dalam premis mereka ketika waktu berpuasa adalah satu jenayah, namun ada yang mungkin tidak tahu hukumannya.

“Lebih masuk akal jika beban itu ditanggung pengguna,” katanya.

“Jika anda memilih untuk melanggar undang-undang, maka anda harus menanggung akibatnya.”

Minggu lepas, peguam Nurainie Haziqah Shafii berkata di Twitter, pengurus sebuah kedai makanan di Kuala Lumpur enggan menerima pesanannya untuk makan di dalam premis.

Ciapan tersebut menjadi tular dan menimbulkan persoalan sama ada pengusaha makanan dan minuman (F&B) berhak menolak pesanan daripada pelanggan beragama Islam ketika waktu puasa.

Setiap negeri mempunyai peraturan berbeza mengenai kegiatan makan pada waktu siang pada bulan Ramadan. Di Kuala Lumpur, menjual makanan atau minuman kepada orang Islam untuk dimakan segera ketika waktu berpuasa adalah satu jenayah mengikut Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan).

Pengusaha F&B yang melakukan kesalahan itu boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya. Hukuman digandakan untuk sabitan kedua atau seterusnya.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman yang sama ke atas orang Islam yang didapati makan atau minum secara terbuka ketika waktu puasa.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia Moeis Basri, pihak berkuasa hanya boleh mengambil tindakan terhadap pengusaha F&B yang beragama Islam kerana mahkamah syariah tiada bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.

Pengarah Devi’s Corner Bangsar Devi Ananth bersetuju dengan Lim dengan berkata, pemilik restoran hanya perlu memberi perhatian kepada fungsi menghidangkan makanan dan minuman.

“Matlamat utama kami adalah untuk menghidangkan makanan kepada pelanggan kami,” katanya.

“Tidak profesional bagi kami untuk mempersoalkan anutan mereka.”

Dev berkata, beliau difahamkan bahawa orang Islam boleh meninggalkan puasa atas sebab-sebab seperti sakit dan haid, namun beliau menasihatkan mereka untuk membawa pulang makanan pada waktu puasa.

Seorang lagi pengusaha F&B yang enggan dinamakan berkata, perniagaannya mengamalkan pendekatan “tidak bertanya soalan”.

“Jika pelanggan kami yang beragama Islam tidak selesa untuk makan secara terbuka, kami akan menawarkan tempat duduk di kawasan yang kurang terdedah,” katanya kepada FMT.

“Bukan tempat kami untuk membuat pertimbangan moral.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.