Trend meningkat panggilan palsu jejas kecekapan JBPM

Trend meningkat panggilan palsu jejas kecekapan JBPM

Ketua Pengarah JBPM Nor Hisham Mohammad meminta orang ramai menggunakan talian kecemasan 999 dengan penuh bertanggungjawab.

NOR HISHAM
Ketua Pengarah JBPM Nor Hisham Mohammad berkata individu membuat panggilan palsu ke talian 999 boleh dikenakan tindakan undang-undang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lebih 500 panggilan palsu diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam tempoh tiga tahun, kata Ketua Pengarah, Nor Hisham Mohammad.

Rekod JBPM menunjukkan 141 panggilan palsu pada 2023, meningkat kepada 196 kes tahun lalu dan melonjak kepada 211 panggilan setakat September ini.

Ketua Pengarah JBPM, Nor Hisham Mohammad, berkata walaupun jumlah itu kecil berbanding keseluruhan panggilan kecemasan, trend itu membimbangkan dan boleh menjejaskan kecekapan pasukan penyelamat.

“Setiap panggilan ke talian 999 dianggap peluang untuk menyelamatkan nyawa. Namun, apabila panggilan palsu dibuat, sumber operasi seperti kenderaan dan anggota digerakkan tanpa sebab munasabah, sekali gus menjejaskan masa tindak balas dan boleh membahayakan nyawa,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu turut memberi kesan kepada penggunaan bahan bakar, tahap fizikal dan mental anggota di lapangan serta risiko pasukan penyelamat tidak dapat memberi respons segera terhadap kecemasan sebenar.

Menurutnya, individu membuat panggilan palsu ke talian 999 boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Justeru, beliau meminta orang ramai menggunakan talian kecemasan 999 dengan penuh bertanggungjawab dan hanya bagi tujuan sebenar seperti melaporkan kebakaran, kemalangan, bencana atau situasi kecemasan lain yang memerlukan bantuan segera.

Katanya, JBPM akan memastikan sistem Next Generation Emergency Services 999 (NG999) berfungsi dengan optimum menggantikan Malaysian Emergency Responses 999 (MERS999) bagi memperkukuh keupayaan tindak balas kecemasan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.