PRN Sabah: 603 kes kesalahan pilihan raya direkod, kata pengerusi SPR

PRN Sabah: 603 kes kesalahan pilihan raya direkod, kata pengerusi SPR

Ramlan Harun berkata daripada jumlah itu, sebanyak 81 kes dilaporkan kepada polis manakala lima kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Ramlan Harun
Pengerusi SPR Ramlan Harun berkata pihaknya juga telah mengambil tindakan membabitkan kesalahan kecil seperti pemasangan bahan kempen yang tidak mengikut peraturan ditetapkan.
PETALING JAYA:
Sejumlah 603 kesalahan pilihan raya direkodkan sepanjang kempen PRN Sabah ke-17 berlangsung sehingga tengah malam tadi, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ramlan Harun.

Ramlan Harun berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 81 kes dilaporkan kepada polis, lima kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan baki laporan dibuat kepada pihaknya.

“Semua perkara itu kini di bawah tindakan agensi-agensi berkaitan,” katanya selepas melawat pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Kawang, Papar, lapor Bernama.

Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan di bawah SPR membabitkan kesalahan kecil seperti pemasangan bahan kempen yang tidak mengikut peraturan ditetapkan.

“Ia telah pun diambil tindakan, termasuk menurunkan poster-poster yang tidak sesuai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya menekankan ketelusan proses pengiraan undi dengan memastikan setiap ejen parti berada di setiap meja pengiraan.

“Kita akan pastikan setiap ejen hadir sehingga selesai pengiraan dan akhirnya kita akan meminta persetujuan daripada ejen bahawa proses tersebut telah berjalan dengan lancar.

“Selagi agen tidak menandatangani, kita tidak akan menganggap keputusan itu sebagai muktamad,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.