
Beliau berkata, peningkatan kes berpunca daripada pembukaan tanah yang pesat untuk aktiviti perladangan menyebabkan peningkatan pendedahan manusia kepada haiwan perumah semula jadi malaria zoonotik.
“Pada masa ini, rawatan malaria sedia ada juga berkesan untuk malaria zoonotik. Cabaran KKM dalam menangani malaria zoonotik adalah ketiadaan kaedah kawalan vektor yang berkesan bagi membendung penularan jangkitan di luar rumah,” katanya sempena sambutan Hari Malaria peringkat kebangsaan.
Katanya, malaria zoonotik adalah penyebab utama kematian malaria di Malaysia sejak 2017.
“Peningkatan jangkitan malaria zoonotik disebabkan oleh parasit Plasmodium knowlesi. Ia ditularkan daripada haiwan (beruk/kera) yang merupakan perumah semula jadi bagi parasit ini kepada manusia melalui gigitan nyamuk Anopheles sp,” katanya.
Khairy berkata, jika seseorang bergejala demam dan mempunyai sejarah masuk ke kawasan berisiko malaria atau baharu pulang dari negara endemik malaria perlu segera mendapat rawatan di fasiliti kesihatan.
“Manakala pekerja yang terlibat dalam sektor perladangan dan perhutanan perlu menjalani saringan malaria secara berkala,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun Malaysia merekodkan sifar malaria manusia jangkitan tempatan sejak 2018, negara ini masih terdedah kepada risiko kemasukan semula jangkitan itu kerana terdapat kes malaria import dalam kalangan pekerja asing yang baharu tiba atau warga tempatan yang pulang dari negara endemik malaria.
“Pada tahun 2021, Malaysia melaporkan 111 kes import malaria manusia. Bagi menangani ancaman ini, KKM telah menyusun strategi baru seperti saringan malaria di pintu masuk terpilih dan memetakan kawasan yang mempunyai risiko tinggi kemasukan semula malaria seterusnya melaksanakan intervensi pencegahan termasuk aktiviti kawalan vektor.
“Di samping itu, KKM juga mengenal pasti sektor berisiko seperti perladangan dan perhutanan untuk diberi tumpuan pelaksanaan aktiviti survelan malaria,” katanya.