
Presidennya, Karen Cheah, berkata Perlembagaan memperuntukan aduan berhubung salah laku kehakiman diuruskan dengan cara sepatutnya demi memastikan keyakinan berterusan orang awam terhadap badan kehakiman.
Siasatan berasingan dibuat SPRM sendiri mampu menimbulkan persepsi bahawa hakim akan membuat keputusan bagi mengelak siasatan pihak berkuasa.
“Selanjutnya, hakim akan dianggap menggunakan kuasa dengan mengambil langkah untuk menjamin mereka tidak memusuhi kerajaan,” katanya sambil menyifatkan persepsi seumpama itu menghakis kepercayaan kepada undang-undang.
Sebarang siasatan SPRM, jika dilaksanakan, akan meremehkan kebebasan badan kehakiman, dan tidak berperlembagaan, katanya dalam kenyataan, malam ini.
Pada Jumaat, SPRM mengesahkan agensi itu membuka kertas siasatan susulan menerima laporan berhubung dakwaan Hakim Mahkamah Rayuan Nazlan Mohd Ghazali, memiliki RM1 juta dalam akaunnya yang tidak dapat dijelaskan.
Bagaimanapun, agensi itu tidak mengulas lanjut sama ada siasatan penuh akan disusuli kemudian.
Blogger dalam pelarian, Raja Petra Kamarudin, yang mendedahkan siasatan itu, pada Jumaat, turut mengaitkan sejumlah wang itu dengan Jho Low, ahli perniagaan yang dikatakan menjadi dalang utama dalam skandal 1MDB.
Nazlan kemudian membuat laporan polis terhadap dakwaan berkenaan, sambil menyatakan ia “palsu, tidak berasas dan berniat jahat”, bagi menjatuhkan kredibilitinya sebagai hakim.
Cheah berkata, sebarang siasatan SPRM akan mewujudkan “duluan tidak menyenangkan”, selain memberi kesan buruk pada masa depan dalam situasi sama terhadap badan kehakiman mahu pun hakim individu.
Beliau menggesa siasatan dijalankan menerusi laporan polis dibuat Nazlan bagi membuktikan tiada pilih kasih dilakukan pihak berkuasa.
Dalam perkembangan berasingan, SPRM dikritik Pengerusi DAP Lim Guan Eng, tidak segera menyiasat Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki berhubung dakwaan pemilikan saham dan waran bernilai jutaan ringgit, seperti yang dilakukan terhadap Nazlan.
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, berkata siasatan itu dianggap sebagai cubaan memberi tekanan dan campur tangan politik, selain melanggar prinsip pengasingan kuasa.
Nazlan adalah hakim yang mengetuai perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak atas dakwaan berhubung 1MDB.
Beliau mendapati Najib bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram sebanyak RM42 juta milik SRC International. Najib dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Beliau kemudian mendapat kebenaran menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan.