
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata, kajian itu perlu susulan ratusan tahanan etnik itu yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu, Kedah pada Rabu lalu.
“Kita tidak boleh memberi ruang supaya mereka dengan mudah memasuki negara tanpa dokumen dan terus mendapat kad UNHCR.
“Ia sesuatu yang tidak betul…ini bukan negara untuk pendaftaran UNHCR, sebab itu kita ambil sikap tegas bahawa pemegang kad bukan bermakna boleh tinggal di negara kita.
“Jadi, kerana itu perlu kaji semula punca pelarian UNHCR duduk di sini dengan bebas dan bagi kad dengan bebas kerana tiada bantuan diberikan kepada kita. Kita sebagai negara yang bersikap perikemanusiaan kepada sesiapa pun, tidak bermakna mereka boleh memasuki negara dengan sewenang-wenangnya,” katanya.
Beliau dipetik Bernama selepas menyampaikan sumbangan asnaf Parlimen Larut kepada 1,000 orang kurang berkemampuan di Dewan Astaka Batu Kurau, Larut.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, kerajaan memberi keperluan mencukupi kepada pelarian Rohingya, malah menempatkan mereka di depoh tahanan atas sifat keperimanusiaan disebabkan tiada dokumen negara asal untuk dihantar pulang.
“Mereka sepatutnya tidak melarikan diri. Itu maknanya mereka hendak melakukan kesalahan untuk bebas dalam negara yang mereka sendiri tidak ada dokumen diri,” katanya sambil menambah tiada tempoh ditetapkan bagi tahanan yang ditempatkan di depoh.
Mengenai dakwaan kesesakan di depoh dipercayai antara punca tahanan melarikan diri, beliau berkata, itu sekadar pendapat sesetengah pihak.
Dalam kejadian awal pagi Rabu lalu, 528 tahanan Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, bagaimanapun enam daripadanya maut dirempuh kereta ketika cuba melintas lebuh raya berhampiran.