OKU Malaysia dihukum gantung di Singapura minggu depan, kata keluarga

OKU Malaysia dihukum gantung di Singapura minggu depan, kata keluarga

Keluarga Nagaenthran K Dharmalingam sudah dimaklumkan hukumannya akan dilaksanakan Rabu depan.

Nagaenthran K Dharmalingam dijatuhkan hukuman mati di Singapura pada 2010 kerana mengedar dadah setahun sebelumnya. (Gambar Facebook)
SINGAPURA:
Seorang warganegara Malaysia yang kurang upaya dari segi mental akan dihukum gantung di Singapura minggu depan, selepas gagal dalam rayuan terakhir, kata kakaknya hari ini, walaupun terdapat bantahan antarabangsa terhadap kesnya.

Nagaenthran K Dharmalingam ditahan pada 2009 kerana mengedar sejumlah kecil heroin ke republik itu, yang mempunyai antara undang-undang paling tegas di dunia, dan menjatuhkan hukuman mati pada tahun berikutnya.

Tetapi, rancangan untuk melaksanakan hukuman itu mendapat kritikan meluas susulan kebimbangan terhadap ketidakupayaan intelektualnya, dengan Kesatuan Eropah dan jutawan British, Richard Branson antara pihak yang mengutuknya.

Selepas usaha bertahun-tahun, lelaki berusia 34 tahun itu gagal dalam rayuan terakhirnya bulan lalu, apabila hakim menolak hujah melaksanakan hukuman mati ke atas individu kurang upaya dari segi mental bertentangan undang-undang antarabangsa.

Keluarganya sudah dimaklumkan dia akan menjalani hukuman pada Rabu depan, kata kakaknya, Sarmila Dharmalingam kepada AFP.

Beliau berkata, ahli keluarga, termasuk ibu dan tiga beradiknya, akan ke Singapura untuk menemui Nagaenthran sebelum itu.

Sarmila Dharmalingam memegang kad untuk adiknya. (Gambar AFP)

M Ravi, peguam hak asasi manusia berpangkalan di Singapura yang membantu kes itu berkata, berita mengenai pelaksanaan hukuman Nagaenthran “sangat menyedihkan”.

“Singapura tidak akan dapat pulih daripada aib yang bakal dihadapinya di peringkat antarabangsa dalam menggantung seorang individu kurang upaya dari segi mental,” katanya dalam catatan media sosial.

Bulan lalu, Singapura menjalankan hukuman mati pertamanya sejak 2019, apabila ia menggantung seorang pengedar dadah dan kebimbangan semakin meningkat kerana beberapa lagi individu akan digantung dalam beberapa bulan akan datang.

Selain Nagaenthran, rayuan tiga lagi lelaki yang disabitkan dengan kesalahan dadah turut ditolak mahkamah.

Nagaenthran ditahan ketika berusia 21 tahun, selepas heroin kira-kira 43 gram – bersamaan kira-kira tiga sudu besar – ditemui diikat pada pahanya ketika dia memasuki Singapura.

Penyokong berkata, dia mempunyai IQ 69 – tahap yang diiktiraf kurang upaya – dan dipaksa melakukan jenayah itu.

Singapura mempertahankan hukuman mati untuk beberapa kesalahan, termasuk mengedar dadah dan membunuh, serta bertegas ia membantu mengekalkan republik itu salah sebuah tempat paling selamat di Asia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.