Tak sempat edar mercun RM500,000, 4 lelaki ditahan

Tak sempat edar mercun RM500,000, 4 lelaki ditahan

Pasukan Gerakan Am berjaya memutuskan kegiatan pengedaran dan penjualan mercun di sekitar Muar dan Kempas dipercayai diseludup dari negara jiran untuk sambutan Aidilfitri.

Pasukan Gerakan Am menahan empat lelaki dan merampas mercun bernilai lebih RM500,000 dalam serbuan di Johor semalam. (Gambar Pasukan Gerakan Am)
PETALING JAYA:
Empat lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan bersama rampasan mercun dianggarkan bernilai lebih RM500,000 di Johor, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Dimin Awang berkata, suspek ditahan di lokasi berasingan di Taman Pertama Indah, Sungai Abong di Muar dan di Taman Bukit Kempas, Johor Bahru, masing-masing pada 11 pagi dan 6 petang.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu pihaknya berjaya menumpaskan satu kegiatan pengedaran dan penjualan mercun di sekitar Muar dan Kempas melalui rampasan terbesar setakat ini, dipercayai diseludup dari negara jiran untuk sambutan Aidilfitri.

“Dalam serbuan pertama, dua lelaki berusia 27 dan 29 tahun termasuk seorang warga Indonesia ditahan sebelum pemeriksaan dalam sebuah lori menemui lima kotak besar pelbagai jenis mercun dan tujuh guni berisi mercun bola.

“Pemeriksaan dalam premis pula menjumpai 434 kotak warna coklat berisi pelbagai jenis mercun dan lima guni berisi mercun bola. Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM560,300,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Dimin berkata, dalam serbuan kedua di Kempas, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berumur 37 hingga 41 tahun serta merampas pelbagai jenis mercun dan kenderaan dengan nilai keseluruhan RM101,950.

“Suspek juga menjadikan premis sebagai pusat simpanan mercun sebelum ia diedarkan kepada peniaga kecil,” katanya.

Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan IPD Johor Bahru Utara untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.