Pesakit dipindah akibat gangguan elektrik di hospital Kota Kinabalu

Pesakit dipindah akibat gangguan elektrik di hospital Kota Kinabalu

Pengarah kesihatan Sabah berkata, gangguan elektrik itu membabitkan menara berkembar, klinik pakar dan blok perubatan lama HQE1 pada 11.54 pagi.

Keadaan di Hospital Queen Elizabeth 1 yang mendapat bekalan elektrik menggunakan penjana kuasa mudah alih pada malam ini. (Gambar Facebook JKNS)
KOTA KINABALU:
Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) di sini mengalami gangguan elektrik menyebabkan sejumlah pesakit terpaksa dipindahkan ke QEH2 di Damai.

Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani Mudin berkata, kes pembedahan turut dipindahkan ke HQE2.

Katanya, gangguan elektrik itu membabitkan menara berkembar, klinik pakar dan blok perubatan lama HQE1 pada 11.54 pagi tadi.

“Pada 12.08 tengah hari, syarikat konsesi Sedafiat menghubungi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan pada 12.29 tengah hari, satu ‘troubleshooting’ dibuat bagi mencari punca gangguan elektrik,” katanya dalam kenyataan.

Keadaan dalam sebuah wad di Hospital Queen Elizabeth 1. (Gambar Facebook JKNS)

Beliau berkata, HQE1 mendapat set penjana kuasa tambahan sebagai sokongan terhadap penjana kuasa sedia ada, selain SESB turut memberikan dua set penjana kuasa mudah alih.

“Pada 8 malam, selepas dua set penjana kuasa mudah alih berfungsi, semua wad dan unit rawatan rapi (ICU) mendapat bekalan elektrik, kecuali dewan bedah.”

Sehingga kini, katanya, SESB dan syarikat konsesi masih berusaha membaiki kabel yang tidak berfungsi.

Terdahulu, The Star melaporkan pesakit terpaksa dirawat dalam keadaan gelap “dengan kakitangan perubatan sama ada menggunakan lampu suluh atau lampu telefon bimbit untuk bergerak”.

Menurut laporan itu, bekalan elektrik di kawasan tertentu hospital itu pulih semula sekitar 4.40 petang.

Ia turut memetik pegawai SESB sebagai berkata, gangguan bekalan elektrik itu disebabkan masalah “dalam hospital itu sendiri”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.