
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Dr Ummi Kalthom Shamsudin, berkata dua kes dikesan di Hulu Langat dan Sepang bulan lalu, manakala tiga lagi di Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat bulan ini.
“Daripada lima kes ini, tiga pesakit rakyat tempatan, termasuk seorang Orang Asli, manakala dua lagi warga asing dengan semua kes tidak melibatkan kanak-kanak,” katanya menurut Bernama pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Pelawat Hospital Selangor di Shah Alam.
Watikah pelantikan itu disampaikan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Ummi Kalthom berkata, situasi terkawal dan semua pesakit stabil di bawah pemantauan petugas kesihatan.
“Sebagaimana kita maklum, kusta penyakit boleh dirawat menerusi rawatan moden, termasuk pemberian ubat profilaksis untuk mencegah jangkitan bagi golongan terdedah kepada mereka yang disahkan positif, isolasi tidak diperlukan.
“JKNS sedang meningkatkan kesedaran dalam pengamal perubatan untuk mengenal pasti gejala kusta.”
Pada 19 Feb lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dilaporkan berkata, seorang remaja Orang Asli berusia 18 tahun maut, manakala lapan lagi Orang Asli dari Kampung Chergun dan Guntur Kuala Pilah dijangkiti kusta.