Kes ‘basikal lajak’: Debat kembali hangat susulan sabitan pemandu

Kes ‘basikal lajak’: Debat kembali hangat susulan sabitan pemandu

Segelintir pihak menegaskan pemandu kenderaan mesti bertanggungjawab, manakala pihak lain mempersalahkan ibu bapa.

Tangkap layar video tular yang menunjukkan remaja menunggang ‘basikal lajak’.
PETALING JAYA:
Sabitan terhadap Sam Ke Ting, pemandu kenderaan terbabit dalam kemalangan “basikal lajak” yang mengorbankan lapan nyawa, telah mencetuskan semula perdebatan hangat di media sosial mengenai sama ada keadilan benar-benar ditegakkan.

Segelintir pihak bertegas bahawa pemandu kenderaan mesti bertanggungjawab atas kematian remaja-remaja tersebut lima tahun lepas, tetapi pihak lain berkata, ibu bapa remaja menunggang basikal di jalan raya pada lewat malam yang seharusnya bertanggungjawab.

FMT bercakap dengan pakar keselamatan jalan raya dan peguam mengenai isu itu.

Fakta kes

Kejadian itu berlaku sekitar 3.20 pagi pada 18 Feb 2017. Sam yang ketika itu berusia 22 tahun memandu di sepanjang Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru apabila dia merempuh sekumpulan remaja yang menunggang basikal diubah suai, atau dikenali sebagai “basikal lajak”. Lapan remaja berusia antara 13 dan 16 tahun terkorban.

Susulan itu, Sam didakwa memandu secara melulu mengikut Akta Pengangkutan Jalan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda RM20,000 jika sabit kesalahan.

Dia dibebas dan dilepaskan oleh mahkamah majistret pada Oktober 2019 atas beberapa faktor, termasuk keadaan jalan yang gelap dan berliku, kemungkinan Sam tidak dapat menjangkakan kehadiran penunggang basikal di jalan raya pada 3 pagi dan bahaya yang ditimbulkan oleh penunggang itu sendiri, yang menggunakan basikal diubah suai.

Siasatan juga mendapati Sam tidak berada bawah pengaruh alkohol mahupun menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Pihak pendakwaan memfailkan rayuan, mendorong mahkamah majistret diperintahkan memanggil pembelaannya. Pada 10 Okt 2021, Mahkamah Majistret Johor Bahru sekali lagi melepas dan membebaskannya.

Pihak pendakwaan kemudian merayu sekali lagi, dan mahkamah tinggi mendapati dia bersalah kerana memandu secara melulu dan menjatuhkan ke atasnya hukuman penjara enam tahun serta denda RM6,000 atau tambahan enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Dia juga hilang kelayakan memandu selama tiga tahun dari tarikh dia menamatkan hukuman penjaranya.

Besar kemungkinan Sam tak nampak remaja berbasikal

Penyelidik keselamatan jalan raya Law Teik Hua daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, besar kemungkinan Sam tidak nampak remaja-remaja itu tepat pada masanya.

Katanya, teori “sensory conspicuity” menyatakan bahawa manusia tidak mampu bertindak balas terhadap objek yang bergerak pantas. Sebuah “basikal lajak” mampu mencapai kelajuan 60 hingga 70km/j, bergantung kepada keadaan jalan raya.

“Inilah sebabnya kita meminta mereka (penunggang) memakai jaket pantul cahaya dan memakai topi keledar berwarna putih, bukan hitam, bagi meningkatkan keselamatan (pengguna jalan raya),” katanya kepada FMT.

Tambahnya, basikal yang diubah suai bukan sesuatu yang lazim dilihat di jalan raya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana pihak berkuasa boleh menyalahkan Sam kerana tidak memandu dengan berhati-hati.

Liabiliti jenayah

Bekas presiden Badan Peguam Malaysia Salim Bashir berkata, apabila seseorang didakwa dan disabitkan atas kesalahan memandu secara melulu, langkah peribadi dan berjaga-jaga yang diambil oleh pemandu pada masa kemalangan hanya akan diambil kira sebagai faktor mitigasi ketika hukuman dijatuhkan.

“Liabiliti jenayah masih boleh ditetapkan jika pihak pendakwaan dapat membuktikan kesemua unsur kesalahan seperti yang didakwa,” katanya kepada FMT.

Salim menggesa kerajaan agar mengkaji semula hukuman mandatori dalam kes lalu lintas jalan raya, selain memansuhkan keperluan permohonan kebenaran merayu di mahkamah rayuan, khususnya berkenaan kes membabitkan hukuman penjara.

Memberi hak rayuan automatik akan membolehkan pesalah yang disabitkan memfailkan rayuan dengan betul “dan dia akan dapat berhujah berdasarkan merit kes dan hukuman”, katanya.

Mengenai sama ada tindakan boleh diambil terhadap ibu bapa remaja itu, Salim berkata, Akta Kanak-kanak mempunyai peruntukan berhubung perkara ini.

Tindakan boleh diambil terhadap ibu bapa yang mengabaikan dan mendedahkan anak-anak mereka kepada bahaya disebabkan kurangnya pantauan, kesalahan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM20,000, atau kedua-duanya sekali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.