Warga Singapura kembali, perniagaan kedai vape di JB pesat

Warga Singapura kembali, perniagaan kedai vape di JB pesat

Memandangkan menghisap vape dan penjualan rokok elektronik diharamkan di Singapura, warganya mendapatkan bekalan di Malaysia.

Penggunaan dan penjualan rokok elektronik diharamkan di Singapura sejak 2018.
JOHOR BAHRU:
Selain mengunjungi stesen minyak, destinasi pertama ramai warga Singapura yang memasuki Johor adalah biasanya kedai menjual rokok elektronik, atau lebih lazim dipanggil vape.

Menghisap vape dan penjualan rokok elektronik diharamkan di Singapura, menurut laporan Straits Times (ST).

Bagaimanapun, sebilangan rakyat Singapura yang dilihat di kedai menjual rokok elektronik dan isian semula cecairnya memberitahu akhbar harian itu bahawa mereka hanya menggunakannya ketika berada di rumah.

Keith (bukan nama sebenar), yang berusia dalam lingkungan 30-an berkata, beliau sudah beberapa kali keluar masuk Malaysia sejak sempadan dibuka semula pada 1 April.

Katanya, kedai vape itu, yang terletak kira-kira 15 minit dari Tambak, lazim dikunjunginya sebelum wabak melanda.

“Kedai itu menjual pelbagai jenis perisa dan barangannya dijual pada kira-kira satu pertiga daripada harga dijual oleh penjual haram di Singapura,” katanya dipetik ST.

“Saya tak beli secara pukal, hanya untuk kegunaan sendiri. Selalunya mereka (kastam Singapura) tak periksa. Mereka hanya buru individu yang cuba seludup ribuan vape.”

Penggunaan dan penjualan rokok elektronik diharamkan di Singapura sejak 2018. Denda maksimum SGD2,000 (RM6,300) diperuntukkan bagi kesalahan membeli, menggunakan dan memiliki perantinya.

Turut menyalahi undang-undang adalah kegiatan mengimport, mengedar atau menjual produk tembakau tiruan, termasuk rokok elektronik dan aksesorinya.

Mereka yang disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan dan didenda sehingga SGD10,000. Hukuman maksimum akan digandakan bagi pesalah berulang.

Awal bulan ini, 1,200 peranti rokok elektronik dan lebih 49,000 aksesori berkaitan disorok dalam tiga lori berdaftar di Malaysia yang memasuki Singapura telah dirampas. Nilainya di pasaran gelap dianggarkan lebih SGD300,000.

Lima lelaki rakyat Malaysia, berusia antara 21 dan 51 tahun, sedang membantu siasatan Pihak Berkuasa Sains Kesihatan di republik itu.

Amaran mengenai risiko kesihatan

Kegiatan menghisap vape dilaporkan semakin meningkat di Singapura, dengan peranti dan aksesorinya sering dijual melalui kumpulan sembang di Telegram, walaupun banyak amaran dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan pakar perubatan mengenai risiko kesihatan berkaitnya.

Walaupun Kementerian Kesihatan Singapura memetik banyak kajian dalam amaran yang dikeluarkannya, persepsi lazim dalam kalangan mereka yang ditemu bual ST adalah vape diharamkan disebabkan isu percukaian.

“Saya rasa vape diharamkan kerana pihak berkuasa tidak boleh mengenakan cukai ke atas rokok elektronik,” dakwa Keith, yang telah menghisap vape selama kira-kira lima tahun.

Beliau percaya vape kurang berbahaya berbanding rokok.

Di Malaysia, penjualan cecair yang mengandungi nikotin diharamkan sejak 2015, tetapi tiada peraturan khusus yang mengawal penjualan dan penggunaan peranti vape itu sendiri dan cecair vape tanpa nikotin.

Terdapat rancangan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal selia dan mengenakan cukai, berbanding mengenakan larangan penjualan cecair vape yang mengandungi nikotin.

Namun, sementara ia masih diusahakan oleh penggubal undang-undang, penjualan vape mengandungi nikotin diterima secara meluas dalam komuniti itu.

Kedai vape dikunjungi wartawan ST itu dikendalikan oleh pasangan rakyat Malaysia Shah (bukan nama sebenar) dan isterinya.

Shah yang berusia dalam lingkungan 40-an berkata, mereka memulakan perniagaan itu lebih sedekad lepas.

Katanya, sejurus sebelum wabak, perniagaan berkembang pesat, dengan jualan mencapai kira-kira RM20,000 sehari.

“Namun semasa wabak, perniagaan menurun kira-kira 70%,” katanya.

Beliau tidak menjual vape secara pukal, katanya, dan tidak akan memenuhi permintaan bagi barangan jualannya dibungkus secara tersembunyi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.