
Beliau berkata, walaupun 98% kes Covid-19 ketika ini boleh pulih hanya dengan kuarantin di rumah, namun varian Omicron tetap berisiko tinggi kepada warga emas yang menghidap komorbid dan masih belum mendapatkan dos penggalak.
“Jika ada kata, adakah jangkitan akan meningkat, ya memang betul, raya ni kita jangka akan ada peningkatan kes sebab bila balik mereka akan bergaul sesama saudara-mara tanpa memakai pelitup muka.
“Ini raya pertama (selepas pandemik), kita boleh rentas negeri. Jadi ini kali pertama kali keluarga ramai akan balik sekali. Serentak dan bila dia balik ke rumah sendiri dia tak pakai pelitup muka, jadi risiko jangkitan akan jadi tinggi di sini saya risau,” katanya pada sidang media selepas melawat Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, katanya berdasarkan trend jangkitan semasa, kes Covid-19 dijangka terkawal dan KKM sudah bersedia dari segi kapasiti untuk merawat kes kronik yang memerlukan pemerhatian lanjut.
Dalam pada itu, Khairy memberi jaminan bahawa kakitangan KKM akan diberi cuti raya selepas dua tahun bergelut dengan pandemik Covid-19.
“Kalau dua tahun lepas kita jarang bagi cuti sebab pandemik tapi tahun ini keadaan dah mula reda. Kita akan mula bagi balik cuti raya tetapi kita akan buat secara berjadual.
“Kita cuba bagi sebanyak mungkin (kakitangan cuti), kita kena tengok dari segi kes … dari segi kapasiti hospital. Saya tak boleh umum sekarang (jumlah kakitangan dibenarkan cuti), kita kena tengok dah nak dekat tarikh raya nanti,” katanya.
Tambahnya, jadual cuti raya akan dimaklumkan kepada warga KKM selepas ia siap tidak lama lagi.
“Jadual itu sedang disediakan ketua setiausaha, nanti kita akan maklumkan kepada warga KKM cuti raya mereka,” katanya.
Mengenai dos penggalak, Khairy berkata, KKM tidak menetapkan tarikh tutup bagi mendapatkannya namun menggesa warga emas yang masih belum disuntik, segera mendapatkan perlindungan tambahan itu.
“Dos penggalak kita dah sampai tahap 70%, manakala bagi warga emas kita dah capai 77%. Kalau boleh saya nak sampai 90% (warga emas) atau lebih dalam sebulan dua lagi sebab sangat-sangat mustahak bagi mereka dapatkan dos penggalak.
“Kita yakin boleh balik kampung, boleh jumpa saudara-mara tetapi lebih baik kita beri perlindungan kepada ibu bapa kita (yang belum dapat dos penggalak) sebab kita balik kampung,” katanya.