
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, berkata tindakan menarik semula akta itu adalah wajar bagi membolehkan rundingan antara pemaju dengan penduduk dapat dijalankan secara telus.
Katanya, meneruskan rundingan tanpa menarik semula akta yang diberikan secara paksaan kepada penduduk Kampung Sungai Baru itu tidak akan membawa sebarang keputusan menang-menang antara penduduk dan pemaju.
Tonton video di sini.
“Saya difahamkan, Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim kata beliau akan hantar badan penilai bebas Rahim & Co untuk membuat penilaian terhadap status tanah di sini.
“Menurutnya, keputusan penilaian akan dikeluarkan dalam tempoh seminggu tetapi apa yang peliknya akta pengambilan tanah masih berjalan namun pintu rundingan dibuka.
“Jika nak berunding, janganlah keluarkan akta. Tarik semula notis tersebut supaya ia dapat berjalan dengan lancar dan baik,” katanya pada sidang media bersama penduduk flat PKNS dan pemilik unit teres Kampung Sungai Baru.
Pada 11 Apr, Shahidan memberi jaminan kepada penduduk flat PKNS Sungai Baru yang mendapat notis pengosongan kediaman bahawa mereka tidak akan berpindah dalam masa terdekat.
Katanya, proses rundingan antara pihak pemaju dan wakil penduduk masih berjalan bagi mencari penyelesaian terbaik.
Dalam pada itu, Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam berkata, tanggungjawab kerajaan adalah memastikan kualiti hidup rakyat sentiasa ditingkatkan namun berlaku sebaliknya terhadap penduduk Kampung Baru.
“Kalau tengok sejarah Kampung Sungai Baru adalah kawasan setinggan tetapi dibuat flat untuk tingkatkan kehidupan penduduk. Kini penduduk khuatir kehidupan mereka bukan ‘diupgrade’ tetapi ‘didowngrade’.
“Kerana pemilik rumah flat hanya dapat pampasan sekitar RM200,000 hingga RM250,000, macam mana nak cari rumah harga macam itu. Jadi mereka terpaksa menyewa, akhirnya bila habis (duit) terpaksa jadi gelandangan. Itu dah ‘downgrade’ kualiti hidup,” tegasnya.
“Pampasan mesti dinaikkkan selari dengan peningkatan kualiti hidup penduduk. Ini kawasan tanah premium. (Jumlah) mesti munasabah,” tambahnya.
Warta Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 dikeluarkan dalam tempoh hanya empat hari, iaitu 18 Jun dan 21 Jun tahun lalu, ketika negara sedang berdepan perintah kawalan pergerakan.
Seksyen 4 menyatakan kawasan Kg Sungai Baru bakal diambil untuk menjalankan kajian pembangunan manakala Seksyen 8 memaksa penduduk keluar daripada tanah mereka dengan pampasan.
Seorang wakil penduduk Kg Sungai Baru, Azlan Mustafa yang mempersoalkan tindakan itu berkata “bagaimana keputusan boleh dibuat sesingkat itu ketika semua sedang dalam tempoh PKP?”
Malah, dakwanya, kenyataan pemaju bahawa 85% penduduk Kg Sungai Baru bersetuju dengan tawaran itu adalah tidak benar.
“Hakikatnya hanya 192 unit pemilik flat dan 27 unit rumah teres bersetuju setakat ini. (Pemaju) masih gagal mendapatkan persetujuan 72 unit flat dan 71 pemilik teres,” katanya.
Setakat ini, katanya, hanya penduduk flat sudah menerima notis Borang K iaitu pengosongan rumah manakala penduduk unit teres masih menunggu perbicaraan kedua dan jurunilai yang neutral untuk menilai semula hartanah mereka.
“Pemaju memohon Akta Pengambilan Tanah untuk mematikan sebarang tentangan penduduk terhadap projek membangunkan kawasan kami.
“(Namun) sebagai pemilik aset, kami berhak mencadangkan. Tambahan pula, projek komersial ini tiada kepentingan untuk kerajaan dan hanya memberi keuntungan berlipat ganda kepada pemaju,” katanya.