
Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid, berkata dalam kejadian 11 pagi itu, janin tidak berjantina itu tidak cukup sifat dan masih bertali pusat.
“Janin kira-kira sembilan sentimeter dan 130 gram itu dianggarkan berusia bawah 23 minggu,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Beliau berkata, janin terbabit dipercayai meninggal dunia lebih 24 jam lalu.
Katanya, janin terbabit ditemui pekerja syarikat kumbahan ketika menjalankan kerja pembersihan di sistem penapisan loji kumbahan Indah Water.
“Hasil rakaman percakapan saksi pertama mendapati mereka tiba di lokasi untuk membuat pemeriksaan sistem kumbahan kerana mendapat aduan tersumbat.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati janin terbabit dijumpai di tempat penapisan sampah dan tidak bertutup serta mempunyai tangga,” katanya.
Beliau berkata, sisa loji kumbahan loji itu berpunca daripada taman perumahan dan kawasan perindustrian di Kota Malim Prima.
“Janin terbabit dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat dan siasatan lanjut akan diteruskan untuk mengesan saksi berhubung penemuan janin terbabit.”
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan dan membuang bayi, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.