
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, M Kumarasan, perbuatan itu dipercayai bertujuan mengelak daripada dikenakan tindakan oleh penguat kuasa.
JSPT Johor semalam mengadakan Op Khas Penjaja Jalanan di sekitar kawasan Bandar Baru Uda, Johor Bahru.
Kumarasan berkata, operasi itu dibuat susulan aduan yang diterima mengenai aktiviti penjaja jalanan yang semakin berleluasa di sekitar kawasan negeri itu.
“Ia operasi berkala bagi menangani isu penjaja jalanan. Berdasarkan statistik dan data yang diperoleh, sebanyak 52 lokasi tumpuan penjaja jalanan dikenal pasti dan tumpuan utama adalah persimpangan lampu isyarat di laluan utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menyifatkan tindakan penjaja yang menyimpan produk makanan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan memandang remeh isu kebersihan makanan serta risiko penyakit bahaya yang boleh disebarkan sekiranya ia tercemar.
“Sikap individu yang mencari jalan mudah, meraih simpati pengguna jalan raya dengan menggajikan pekerja asing menjaja jeruk tanpa mengira risiko dan bahaya kepada diri sendiri serta pengguna boleh mengundang kemalangan,” katanya, menurut laporan Berita Harian.
Jelas Kumarasan, aktiviti menjaja di jalan awam adalah menyalahi peraturan serta undang-undang dan mereka yang menjalankan urusan jual beli di lokasi terbabit boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 10A (1) dan Kaedah 10A (2) LN 166/59 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM2,000.
Justeru beliau meminta pihak terbabit menghentikan aktiviti menjaja di jalan awam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini khususnya kemalangan maut dan gangguan kelancaran trafik.