Pedal minyak tersangkut, warga emas cedera kereta langgar dinding

Pedal minyak tersangkut, warga emas cedera kereta langgar dinding

Polis berkata lelaki berusia 67 tahun itu cedera ringan.

Keadaan Nissan Sentra selepas terlanggar dinding tempat parkir di sebuah pangsapuri di Desa Jaya Khamis lalu. (Gambar polis)
PETALING JAYA:
Seorang warga emas cedera ringan selepas kenderaannya merempuh dinding tempat parkir sebuah pangsapuri di Desa Jaya, Gombak.

Pemangku Ketua Polis Gombak, Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata dalam kejadian 7.30 malam Khamis lalu, lelaki berusia 67 tahun itu gagal menghentikan Nissan Sentra dipandunya di kawasan parkir pangsapuri kerana pedal minyak tersangkut pada karpet alas kaki.

“Pemandu terbabit mengalami cedera ringan dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” katanya menurut Harian Metro.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Azamil Makmor di talian 019 6004104 atau 03 61262222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.