Pekerja baik pulih loji kumbahan tertimbus 4 jam

Pekerja baik pulih loji kumbahan tertimbus 4 jam

Mangsa berusia 44 tahun itu terperangkap selepas tanah di tepi tangki loji kumbahan runtuh.

Selepas empat jam terperangkap ketika melakukan kerja baik pulih loji kumbahan, seorang pekerja berjaya dikeluarkan daripada runtuhan tanah. (Gambar Bomba)
PETALING JAYA:
Seorang pekerja terselamat selepas terperangkap selama empat jam dalam runtuhan tanah ketika sedang menjalankan kerja baik pulih loji kumbahan di sebuah sekolah, di Bandar Penawar, di Kota Tinggi, Johor.

Mangsa berusia 44 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan, namun berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Kota Tinggi Hussin Zamora, berkata terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu, pada 2.20 petang tadi.

Susulan itu, beliau berkata, sepasukan pegawai bersama anggota dari Balai Polis Bandar Penawar bergegas untuk mengawal keadaan di lokasi insiden.

Katanya, operasi menyelamat itu turut dibantu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar serta BBP Sebana Cove, kakitangan Klinik Kesihatan Bayu Damai, dan pihak sebuah syarikat kontraktor.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika empat pekerja syarikat terbabit termasuk mangsa, sedang menjalankan kerja membaik pulih loji kumbahan di sekolah berkenaan.

“Ketika itu, tanah di tepi tangki loji kumbahan runtuh atau jerlus menyebabkan seorang mangsa terperangkap dan tertimbus hingga ke paras pinggang, manakala tiga lagi pekerja sempat menyelamatkan diri.

“Mangsa berada dalam keadaan stabil,” katanya menurut Berita Harian.

Sementara itu, jurucakap bomba Johor berkata, operasi tamat pada 6.50 petang tadi.

Katanya, mangsa yang dilaporkan mengalami kecederaan telah diserahkan kepada pihak KKM untuk menerima rawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.