Ferrero henti beli minyak sawit Sime Darby

Ferrero henti beli minyak sawit Sime Darby

Ia selepas kastam Amerika Syarikat (AS) mendapati syarikat Malaysia itu menggunakan buruh paksa.

Ferrero menggunakan minyak sawit dalam penghasilan coklat Ferrero Rocher dan Nutella.
KUALA LUMPUR:
Syarikat konfeksionari utama Itali, Ferrero bercadang menghentikan pembelian sumber minyak sawit dari Sime Darby Plantation Bhd (SDP), selepas Amerika Syarikat (AS) mendapati syarikat Malaysia itu menggunakan buruh paksa.

“Ferrero akan mematuhi keputusan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS,” kata Ferrero yang menggunakan minyak sawit dalam penghasilan coklat Ferrero Rocher dan Nutella dalam e-mel kepada Reuters.

Katanya, ia sudah meminta semua pembekal globalnya berhenti membekalkan minyak sawit dan minyak isirong sawit yang diperolehi secara tidak langsung daripada SDP.

Walaupun Ferrero hanya membeli sedikit minyak boleh dimakan daripada SDP, tindakan syarikat itu mengikut jejak Hershey Co dan General Mills Inc mampu menjejaskan reputasi SDP serta Malaysia.

SDP memberitahu Reuters, ia mengambil langkah dalam bidang hak asasi manusia dan semua pemegang kepentingannya komited terhadap kemampanan yang boleh diyakinkan dengan komitmen dan kepimpinannya dalam industri.

Tambahan, katanya, Ferrero bukan pelanggannya.

Ferrero berkata, ia tidak membeli terus daripada syarikat Malaysia, yang dikatakan membekalkan 0.25% daripada jumlah minyak sawit yang digunakannya.

Susulan keputusan pada 2020 yang menunjukkan “penunjuk buruh paksa” di SDP, CBP AS pada Januari lalu berkata, ia mempunyai bukti mencukupi bahawa barangan syarikat itu tertakluk kepada penyitaan.

Dalam pada itu, SDP menerusi kenyataan hari ini mengesahkan pelanggan langsungnya, kumpulan makanan dan pertanian India, Cargill menggantung sumber minyak sawit dan produk keluarannya berkuat kuasa 25 Feb 2022.

“Bekalan produk pukal kepada Cargill di India kini diambil pelanggan lain. Kami sedang berbincang dengan Cargill berhubung keputusannya.”

SDP berkata, ia melangkah jauh ke depan dalam bidang hak asasi buruh dengan langkah disemak atau diperkenalkan.

Selain Ferrero, laporan Reuters turut menyebut gergasi makanan AS, General Mills dan Hershey. SDP berkata, kedua-dua syarikat itu bukan pelanggan langsungnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.