Saman USD8 bilion 1MDB meragukan, kata Najib dalam pembelaan

Saman USD8 bilion 1MDB meragukan, kata Najib dalam pembelaan

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata pada mulanya 15 orang dinamakan dalam saman itu namun tujuh nama telah digugurkan.

Mahkamah membenarkan Najib Razak mengeluarkan RM100,000 setiap bulan untuk perbelanjaan harian dan yuran guaman.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa saman USD8 bilion (RM33.8 bilion) oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terhadapnya dan tujuh yang lain adalah “meragukan”.

Beliau berkata, pada mulanya 15 orang termasuk dirinya dinamakan dalam tuntutan saman itu.

Bagaimanapun, tujuh nama, iaitu bekas ketua pegawai eksekutif, Hazem Abdul Rahman dan Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas pengarah Che Lodin Wok Kamaruddin, Ismee Ismail, Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram dan bekas ketua pegawai kewangan Azmi Tahir digugurkan.

“Adalah jelas bahawa bawah pernyataan saman yang dipinda ini, ‘pesalah’ ini telah dikeluarkan.

“Ini menimbulkan keraguan tentang keikhlasan 1MDB dalam memfailkan tindakan sivil ini,” katanya dalam kenyataan pembelaannya.

Kerajaan, melalui 1MDB dan anak syarikatnya, memfailkan saman itu pada Mei tahun lalu. Ia mendakwa bahawa Najib dan beberapa yang lain melakukan penyelewengan palsu, pelanggaran kewajipan, pelanggaran kewajipan statutori dan terlibat dalam pengayaan yang tidak adil.

Pada 8 Feb 1MDB memperoleh injunksi untuk menghalang Najib dan dan ejennya daripada mengeluarkan asetnya sehingga USD681 juta sementara menunggu keputusan tuntutan itu. Perintah mahkamah membenarkannya mengeluarkan RM100,000 setiap bulan untuk perbelanjaan harian dan yuran guaman.

Syarikat itu turut memperoleh perintah supaya Najib mendedahkan nilai asetnya, dalam dan luar negara, sehingga USD681 juta secara bertulis dalam tempoh 14 hari selepas perintah itu diserahkan.

Mahkamah Tinggi menetapkan 17 Ogos untuk mendengar permohonan Najib untuk mengetepikan injunksi mareva oleh 1MDB itu.

Najib kini dibicarakan atas 25 pertuduhan menyalah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan akan bersambung pada 18 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.