
Ia adalah kes ke-15 tahun ini melibatkan kematian dalam tahanan.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Azri Ahmad berkata, lelaki berusia 45 tahun itu disyaki mengalami sawan pada jam 10.32 pagi sebelum kejadian dimaklumkan kepada pihak hospital.
“Pihak hospital hadir untuk membuat pemeriksaan pada jam 10.45 pagi dan membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Ketika dalam perjalanan, dia disahkan meninggal dunia dan punca kematian masih belum diketahui,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pada Selasa lalu, suspek dituduh bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Dia tidak mengaku salah serta tidak mempunyai penjamin.
“Suspek ditumpangkan di lokap Balai Polis Kajang sebelum dihantar ke Penjara Satelit Beranang bagi tujuan reman penjara,” katanya.
Azri berkata, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes berkenaan.