Kumpulan pengguna sokong cadangan naikkan harga siling ayam

Kumpulan pengguna sokong cadangan naikkan harga siling ayam

Ini akan mendorong penternak ayam mengekalkan pengeluaran, kata Presiden Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia Darshan Singh.

Peniaga dilaporkan menjual ayam melebihi harga siling RM8.90 sekilogram dengan ramai yang berkata, mereka tiada pilihan kerana pembekal menjualnya pada harga RM8.70.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan pengguna menyokong cadangan bos sebuah pasar raya besar untuk menaikkan harga siling ayam standard.

Mengulas cadangan Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin untuk menaikkan harga siling kepada RM9.90 sekilogram berbanding RM8.90 disebabkan kekurangan semasa, Presiden Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia Darshan Singh berkata, ini akan mendorong penternak ayam untuk mengekalkan pengeluaran mereka.

“Sebuah ekosistem yang harmoni antara pengguna dan peniaga mesti dikekalkan; jika tidak, semua pihak akhirnya akan rugi,” katanya.

“Lebih teruk lagi, jika penternak berhenti mengeluarkan ayam untuk mengelak kerugian, maka tidak akan ada ayam di pasaran.”

Darshan berkata, semua pihak berkepentingan mesti terlibat untuk mengenal pasti komponen kos dan langkah untuk membantu mengatasi masalah peningkatan kos.

Malaysia berdepan kekurangan sumber protein yang popular itu disebabkan peningkatan kos dedak ayam dan kekurangan buruh.

Peniaga dilaporkan menjual ayam melebihi harga siling, yang akan berkuat kuasa hingga 5 Jun, dengan ramai yang berkata, mereka tiada pilihan kerana pembekal menjualnya pada harga RM8.70 sekilogram.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito turut menyokong cadangan Ameer dengan berkata, peruncit adalah “antara suara munasabah di negara ini”.

“Masalahnya sangat mudah. Selain isu rantaian bekalan, kita hadapi masalah dengan bekalan. Jadi apa yang kita perlu untuk turunkan harga? Kita perlu bekalan. Itu (prinsip) ekonomi asas,” katanya.

Beliau berkata, pemansuhan harga siling akan mengakibatkan harga meningkat buat sementara, yang kemudian akan menjana “isyarat keuntungan” bagi pengeluar.

“Isyarat itu akan meningkatkan bekalan. Kemudian harga akan turun semula.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.