Harga tiket mahal, kerajaan Sarawak utus surat kepada syarikat penerbangan

Harga tiket mahal, kerajaan Sarawak utus surat kepada syarikat penerbangan

Menteri Pengangkutan Sarawak Lee Kim Shin berharap syarikat penerbangan menawarkan harga tiket lebih berpatutan menjelang sambutan perayaan tidak lama lagi.

Kerajaan Sarawak sudah meluluskan lebih banyak bilangan penerbangan ke negeri itu dan berharap sebagai timbal balas syarikat penerbangan menawarkan harga tiket lebih berpatutan.
PETALING JAYA:
Menteri pengangkutan Sarawak menulis surat meminta syarikat penerbangan menawarkan harga tiket penerbangan lebih berpatutan menjelang musim perayaan.

Menterinya, Lee Kim Shin berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sudah meluluskan 619 kekerapan penerbangan ke negeri berkenaan.

“Objektif utama adalah menyediakan lebih banyak penerbangan bertujuan melancarkan pergerakan orang ramai dan kargo susulan pembukaan semula sempadan pada 1 Apr.

“Dengan peningkatan kekerapan penerbangan, syarikat penerbangan dijangka mampu menawarkan tambang berpatutan kepada penumpang, terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak di Sarawak,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, ramai rakyat Sarawak yang bekerja di Semenanjung dijangka pulang menyambut dua sambutan berkenaan bersama keluarga.

“Kami percaya syarikat penerbangan memainkan peranan penting dalam memudahkan pergerakan rakyat dan barang pada kadar berpatutan sebagai timbal balas terhadap keputusan JPBN Sarawak meluluskan peningkatan kekerapan penerbangan ke negeri ini.”

Kenyataan itu dibuat susulan laporan harga tiket penerbangan ke Malaysia Timur melambung menjelang musim perayaan.

Sebelum musim perayaan, syarikat penerbangan menawarkan penerbangan pergi balik dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Kuching pada harga RM300.

Bagaimanapun, menjelang tempoh perayaan 29 April hingga 8 Mei yang semakin hampir, laman web syarikat penerbangan kini memaparkan peningkatan mendadak harga tiket sehingga RM2,000 bagi penerbangan pergi balik yang menyaksikan kenaikan 566%.

Pada 27 Nov tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, memberitahu syarikat penerbangan supaya menyelesaikan isu harga tiket tinggi ke Sabah dan Sarawak, terutama ketika hujung tahun dan musim perayaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.