3 lagi tahanan lolos dari Penjara Jelebu ditahan semula

3 lagi tahanan lolos dari Penjara Jelebu ditahan semula

Polis berkata, operasi mengesan seorang lagi banduan masih bebas, iaitu Muhammad Syafiq Rohmat, 32, masih diteruskan.

Tujuh tahanan reman dipercayai melarikan diri melalui lubang siling dan keluar melalui lubang pagar menuju semak di belakang Penjara Jelebu kira-kira 6 pagi Ahad lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiga lagi tahanan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu pada Ahad lalu ditahan semula di kawasan semak Jalan Purun, Kuala Klawang, di Seremban, Negeri Sembilan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Maslan Udin berkata, Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, 28; Mazlan Samah, 39, dan warga Indonesia dikenali sebagai Zainuddin, 62, ditahan pada 10 malam serta direman empat hari mulai hari ini.

“Operasi mengesan seorang lagi tahanan masih bebas, iaitu Muhammad Syafiq Rohmat, 32, yang dipanggil Umai masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini menurut laporan Bernama.

Tujuh tahanan reman di Blok Muhasabah 2, Penjara Jelebu dipercayai melarikan diri melalui lubang siling dan keluar melalui lubang pagar yang disyaki dipotong menggunakan pemotong besi, sebelum menuju semak di belakang penjara itu kira-kira 6 pagi Ahad lalu.

Maslan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu di talian 06-6136 222 atau pegawai penyiasat Insp Zuria Anis Mahassan 016-6096 996.

Orang ramai juga dinasihatkan tidak menyebarkan sebarang berita tidak tepat yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan siasatan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.