Lelaki warga Thailand ditahan, 36,000 pil kuda bernilai RM360,000 dirampas

Lelaki warga Thailand ditahan, 36,000 pil kuda bernilai RM360,000 dirampas

Suspek ditahan selepas berada dalam keadaan mencurigakan berdiri berdekatan masjid sambil membawa satu beg plastik.

Sejumlah 36,000 pil kuda dirampas polis Pasir Mas daripada seorang lelaki warga Thailand. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Polis berjaya merampas 36,000 biji pil kuda bernilai RM360,000 daripada seorang lelaki warga Thailand, dalam serbuan berdekatan Masjid Mukim Lubok Gong, Pasir Mas.

Dalam Ops Tapis Narkotik yang dijalankan pada 6.30 petang, semalam, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, menemui kesemua pil terbabit dalam satu beg plastik.

Ketua Polis Pasir Mas Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata polis sebelum itu mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang berdiri berdekatan masjid, sambil memegang satu beg plastik.

Katanya, anggota polis kemudiannya menghampiri lelaki itu dan memperkenalkan diri sebagai polis.

“Secara tiba-tiba lelaki itu cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

“Polis kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut ke atas suspek yang juga penganggur dan merampas satu beg plastik yang mengandungi 36,000 biji pil kuda.

“Hasil soal siasat suspek mengaku kesemua barang yang dijumpai adalah miliknya dan mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki Thailand yang dikenali sebagai ‘Abe’ yang tinggal di Narathiwat,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Nasaruddin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.