2 kit ujian kendiri Covid-19 ditarik balik atas faktor keselamatan

2 kit ujian kendiri Covid-19 ditarik balik atas faktor keselamatan

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan berkata, pengeluar gagal mematuhi syarat kelulusan yang ditetapkannya.

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan menasihatkan orang ramai tidak membeli kit ujian kendiri Covid-19 yang dikeluarkan Innovac Technology dan Conan Medical Technology.
PETALING JAYA:
Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) membatalkan kelulusan bersyarat bagi dua pengeluar kit ujian kendiri Covid-19 berkuat kuasa serta-merta kerana gagal mematuhi syarat kelulusan ditetapkan.

Kit ujian terbabit dikeluarkan Innovac Technology Sdn Bhd di bawah nama jenama Deepblue, manakala Conan Medical Technology Berhad pula menggunakan nama jenama Wiz Biotech.

“MDA juga ingin menasihatkan pengguna agar tidak membeli atau menggunakan kit ujian kendiri Covid-19 yang tidak mematuhi keperluan MDA kerana dikhuatiri tidak selamat untuk digunakan,” katanya.

Kit ujian kendiri RTK-antigen (RTK-Ag) digunakan untuk pengesanan pantas dan pengasingan cepat, khasnya ketika berdepan gelombang Omicron semasa dan varian pada masa depan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya menerima beberapa aduan berhubung kit ujian kendiri Covid-19 yang dijual dalam pasaran.

Susulan itu, katanya, MDA menguji 22 jenama kit ujian kendiri, dengan keputusan 12 daripadanya sudah diperolehi.

Justeru, beliau menerusi catatan Twitter berkata, kelulusan bagi dua kit ujian kendiri itu digantung serta-merta, selepas didapati tidak mencapai tahap prestasi ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.