10 pegawai agensi ditahan, disyaki terlibat rasuah percepat proses

10 pegawai agensi ditahan, disyaki terlibat rasuah percepat proses

SPRM tahan pegawai agensi penguat kuasa disyaki terlibat rasuah bagi mempercepat proses permohonan program pemutihan pendatang asing.

macc sprm
Op Bleach adalah operasi susulan SPRM kepada Op Rentas dan Op Dygo, berkait sindiket ‘counter setting’.
PETALING JAYA:
10 pegawai agensi penguat kuasa dan seorang pesara agensi berkenaan ditahan, kerana disyaki terlibat rasuah bagi mempercepat proses permohonan program pemutihan pendatang asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Menurut sumber, tujuh lelaki dan empat wanita ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang, menerusi Op Bleach dijalankan Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

“Semua suspek dipercayai menerima rasuah sebagai balasan bagi mempercepat permohonan pendatang asing yang berada di negara ini sebagai pekerja asing sah menerusi program RTK,” katanya.

Sumber mendedahkan bahawa Op Bleach adalah operasi susulan SPRM kepada Op Rentas dan Op Dygo, berkait sindiket ‘counter setting’.

SPRM turut menyita wang tunai lebih RM116,000, 14 unit peranti telekomunikasi, barang kemas serta kepingan emas, tiga unit kereta serta dua unit motosikal, susulan tangkapan ini, kata sumber.

Sementara itu, Pengarah Kanan Perisikan SPRM, Saiful Ezral Arifin, mengesahkan tangkapan terhadap suspek. Mereka akan di bawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya, esok bagi permohonan reman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.