Ahli perniagaan ditahan bawah Poca berkait judi ‘online’ dibebas

Ahli perniagaan ditahan bawah Poca berkait judi ‘online’ dibebas

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas berpendapat penahanan Alvin Goh tidak mengikut undang-undang.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berpendapat penahanan Alvin Goh tidak mengikut undang-undang.
PETALING JAYA:
Seorang ahli perniagaan yang ditahan bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) selama satu setengah tahun kerana didakwa mempunyai kaitan dengan sindiket perjudian dalam talian dibebaskan dua hari lepas.

Pada Rabu, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu kerana berpendapat penahanan Alvin Goh tidak mengikut undang-undang.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan habeas corpus Goh terhadap perintah remannya yang dikeluarkan bawah Poca sebanyak dua kali sejak November 2020.

Goh sekali lagi mencabar perintah tahanan dua tahun itu melalui permohonan habeas corpus berasingan yang dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi pada Rabu.

Malaysiakini melaporkan, peguam Marcus Lee mengesahkan bahawa Goh telah dibebaskan daripada tahanan di Simpang Renggam, Johor.

Lee berkata, mahkamah berpendapat berdasarkan afidavit pihak berkuasa, unsur keganasan terancang tidak wujud.

Selain Lee, ahli lain dalam pasukan peguam Goh ialah bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram, Gobind Singh Deo, Jacky Loi, PG Cyril dan Lim Jin Wen.

Kementerian Dalam Negeri – yang merupakan responden dalam permohonan habeas corpus Goh – diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Sinti dan Farah Ezlin Yusop Khan.

Pada 12 April tahun lalu Goh, 33, dan adiknya, Goh Yeong Hui, 28, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM2.1 juta.

Pada 1 Dis 2020, Bernama melaporkan bahawa suspek utama di sebalik kegiatan perjudian dalam talian, iaitu Goh dan ahli perniagaan Zaidi Kanapiah serta dua pegawai polis ditahan selama dua tahun bawah Poca.

Bagaimanapun, Zaidi yang juga dikenali sebagai Addy Kanna berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan penahanan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.