Bicara tuntutan harta sepencarian balu JJ 18 Julai

Bicara tuntutan harta sepencarian balu JJ 18 Julai

Dalam prosiding hari ini mahkamah memerintahkan supaya pihak-pihak menyelesaikan isu berhubung pindaan pernyataan tuntutan saman tersebut.

Ibu Jamaluddin Jarjis, Aminah Abdullah, adalah antara defendan dalam kes tuntutan balu bekas menteri itu.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan 18 Julai ini bagi perbicaraan tuntutan harta sepencarian kira-kira RM1 bilion yang dikemukakan Kalsom Ismail, iaitu balu bekas menteri, Jamaludin Jarjis yang terkorban dalam nahas helikopter pada 2015.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam syarie Nur Hidayah A Bakar yang mewakili ibu Jamaludin, Aminah Abdullah, 88, selaku defendan kelima ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes di hadapan hakim syarie Haznita Hamidon.

Hidayah berkata, dalam prosiding hari ini, mahkamah memerintahkan supaya pihak-pihak menyelesaikan isu berhubung pindaan pernyataan tuntutan saman tersebut.

“Hakim syarie mengarahkan pindaan kali kedua (pernyataan tuntutan) diselesaikan terlebih dahulu dan mahkamah menetapkan 18 Julai untuk tarikh bicara akan datang,” katanya.

Berikutan perbicaraan kes ditangguh buat kali ketiga, Hidayah berkata, pihaknya memohon supaya pihak plaintif (Kalsom) membayar kos.

“Namun, hakim syarie memutuskan kos tersebut akan ditetapkan pada penghujung kes ini nanti,” kata peguam syarie itu.

Turut hadir pada prosiding itu ialah peguam syarie Sulaiman Abdullah yang mewakili Kalsom selaku plaintif.

Kalsom, 66, memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat, Makkah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla, dan ibu mertuanya Aminah sebagai defendan.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dalam perjalanan dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya kapten Clifford William Fournier, ketua setiausaha sulit kepada bekas perdana menteri Najib Razak, Azlin Alias, ahli perniagaan Tan Huat Seang, pengawal peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.