
Peguam Kok, SN Nair, menyatakan mediasi di Melaka itu gagal kerana kedua-dua pihak tidak dapat mencapai persetujuan.
“Jadi, perbicaraan akan diteruskan di Mahkamah Tinggi seperti dijadualkan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi FMT.
Pesuruhjaya Kehakiman Isa Aziz Ibrahim akan mempengerusikan kes berkenaan selama dua hari bermula 12 Feb. Akmal diwakili peguam Syahrul Syazwan pada prosiding hari ini.
Nair berkata, Kok dan empat ke lima saksi dijangka akan memberi keterangan bagi pihaknya.
Dalam saman difailkan tahun lalu, Kok mendakwa video dimuat naik Akmal di Facebook, TikTok, dan Instagram adalah bersifat memfitnah, tohmahan, libel, dan menghina.
Akmal memuat naik video tersebut sebagai tindak balas terhadap kenyataan Kok mengenai pensijilan halal, dengan menggelarnya sebagai seorang ‘nyonya tua’ dan mengatakan beliau tidak seharusnya campur tangan dalam urusan agama Islam.
Adun Merlimau itu juga menggelar Kok sebagai ‘memalukan negara’ dan menyuruhnya supaya terus berdiam diri dalam perkara berkaitan Islam.
Kok mendakwa kenyataan Akmal antara lain membawa unsur pembohongan, menggambarkan dirinya seorang yang perkauman, tidak sensitif, serta seseorang yang tidak menghormati agama Islam, dan tidak setia kepada negara.
“Kenyataan plaintif jelas berkaitan proses mendapatkan pensijilan halal oleh pengusaha dalam industri makanan dan minuman.
“Bagaimanapun, kenyataan ini telah dicemuh dan dihina secara keterlaluan.
“Kenyataan salah oleh defendan telah memesongkan konteks dan niat asal kenyataan plaintif yang boleh mengelirukan orang ramai dan secara tidak adil mencemarkan reputasi plaintif,” kata pernyataan tuntutan itu.
Beliau menuntut ganti rugi am, pampasan, ganti rugi teruk, dan ganti rugi teladan daripada Akmal, serta injunksi bagi menghalang Akmal mengulangi kenyataan tersebut.
Akmal bergantung kepada pembelaan justifikasi, komen berpatutan, dan perlindungan bersyarat untuk menepis saman dikemukakan.