Pegawai bank rugi lebih RM200,000 terpedaya pinjaman tak wujud

Pegawai bank rugi lebih RM200,000 terpedaya pinjaman tak wujud

Mangsa berusia 54 tahun ingin mendapatkan pinjaman RM80,000 dengan mengisi borang di laman sesawang syarikat dikatakan menawarkan kadar faedah rendah.

Polis berkata, mangsa diminta membuat pembayaran ke sembilan akaun sejak 28 Feb hingga akhir Mac lalu berjumlah RM243,000.
KUALA LUMPUR:
Gara-gara hendak mendapatkan pinjaman peribadi sebanyak RM80,000, seorang pegawai bank kerugian RM234,000 selepas terpedaya oleh penipuan pinjaman tidak wujud di laman sesawang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Mohamad Musa Marsidi berkata, mangsa berusia 54 tahun membuat laporan pada 1 April lalu selepas menyedari ditipu.

Beliau berkata, sebelum itu, mangsa berurusan untuk mendapatkan pinjaman sebanyak RM80,000 dengan mengisi borang di laman sesawang sebuah syarikat yang dikatakan menawarkan kadar faedah rendah.

“Mangsa kemudian dihubungi pekerja syarikat pinjaman wang berkenaan dan memintanya membuat bayaran bagi memproses pinjaman itu.

“Semasa proses kelulusan, mangsa diminta membuat pembayaran dengan memindahkan wang secara berperingkat ke sembilan akaun sejak 28 Feb sehingga akhir Mac lalu berjumlah RM243,000,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Musa turut mengingatkan orang ramai tidak mempercayai iklan promosi pinjaman wang dengan kadar faedah rendah dan proses permohonan pantas tanpa syarat ketat untuk mengelakkan menjadi mangsa penipuan tawaran pinjaman tidak wujud.

Beliau turut menyarankan orang ramai menghubungi CCID Scam Response Center melalui talian 03-26101559 dan 03-26101599 atau Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Infoline di CCID Scam Response Center 03-2610 1559/1599 atau balai polis berdekatan, jika mendapati sebarang jenayah atau aktiviti mencurigakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.