
Pendakwa berkata Ng, bekas pegawai pelaburan tertinggi Goldman di Malaysia itu membantu bekas ketuanya, Tim Leissner menggelapkan dana daripada 1MDB, mengubah hasilnya secara haram dan merasuah pegawai bagi mendapatkan urus niaga untuk Goldman.
Ng, 49, mengaku tidak bersalah bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.
Peguamnya berkata Leissner, yang mengaku bersalah atas tuduhan serupa pada 2018 dan bersetuju untuk bekerjasama dengan pendakwa, secara palsu membabitkan Ng dengan harapan dia menerima hukuman ringan.
Tuduhan-tuduhan ini berkait salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah.
Menurut pendakwa AS, Goldman membantu 1MDB mengumpul USD6.5 bilion melalui tiga jualan bon, tetapi USD4.5 bilion dilencongkan kepada pegawai kerajaan, pegawai bank dan rakan sekutu mereka menerusi rasuah dan sogokan.
Dalam perbicaraan hampir dua bulan di mahkamah Brooklyn, juri mendengar keterangan daripada Leissner selama sembilan hari, yang antara lainnya memberitahu mahkamah dia memberi sogokan kepada Ng sebanyak USD35 juta.
Leissner berkata, mereka bersetuju untuk “merekayasa cerita” bahawa wang itu adalah hasil urusan perniagaan yang sah antara isteri mereka.
Isteri Ng, Lim Hwee Bin kemudiannya turut memberi keterangan untuk pembelaan, mengakui urusan perniagaan itu sah.
Katanya, dia melabur USD6 juta pada pertengahan 2000 dalam sebuah syarikat China milik keluarga isteri Leissner pada masa itu, dan wang USD35 juta terbabit adalah pulangan daripada pelaburan itu.
Dalam hujah penutupnya pada Isnin, peguam Ng, Marc Agnifilo, menegaskan kepada juri bahawa Leissner tidak boleh dipercayai.
Dalam pada itu, pendakwa, Alixandra Smith berkata dalam hujah penutupnya, keterangan lain menyokong keterangan Leissner.
Ng mungkin akan menjadi satu-satunya individu yang menghadapi perbicaraan di AS berhubung skandal 1MDB.
Goldman pada 2020 membayar denda hampir USD3 bilion dan unitnya di Malaysia bersetuju untuk mengaku bersalah.
Individu yang disyaki menjadi dalang skim itu, iaitu ahli perniagaan Malaysia dalam buruan Jho Low, telah didakwa bersama Ng pada 2018, tetapi dia masih bebas.