

Felo kanan Akademi Nusantara (Penyelidikan Strategik) Azmi Hassan berkata, tindakan sedemikian akan menunjukkan parti mereka mempunyai integriti yang lebih tinggi berbanding pesaing mereka dalam Umno dan Barisan Nasional (BN).
Katanya, Umno akan berada dalam kedudukan yang sukar kerana Presidennya Ahmad Zahid Hamidi turut dihadapkan ke mahkamah berhubung rasuah ketika masih memimpin parti itu.
“Jika mereka masih pegang jawatan, ia akan menguntungkan Umno kerana DAP dan MUDA telah menuduhnya sebagai parti yang penuh dengan pemimpin yang korup. Ini akan memberi ruang kepada pengkritik DAP dan MUDA untuk menuduh kedua-dua parti itu cakap tak serupa bikin,” katanya.
Minggu lepas, pemimpin DAP Johor Dr Boo Cheng Hau berkata, dengan mengambil langkah berundur sementara perbicaraan berjalan, Lim dan Syed Saddiq boleh menetapkan standard yang lebih tinggi berbanding BN jika mereka mahu menawarkan diri sebagai alternatif lebih baik.
Lim dituduh menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk meminta bahagian keuntungan sebanyak 10% daripada projek terowong dasar laut dan menerima wang sogokan RM3.3 juta daripada seorang ahli perniagaan berhubung projek itu.

Syed Saddiq berdepan tuduhan pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berhubung dana pilihan raya berjumlah RM1.12 juta milik Bersatu.
Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, beliau percaya “pengundi yang berfikiran progresif” melihat perbicaraan itu sebagai penganiayaan politik.
Katanya, tindakan pemimpin DAP menolak isu yang dibangkitkan Boo adalah tepat kerana ia hanya membantu mengukuhkan percubaan untuk memburukkan parti. MUDA juga patut berbuat perkara yang sama, tambahnya.
Oh berkata, perbicaraan Lim mungkin tidak akan memudaratkan DAP sebagaimana memorandum persefahaman PH dengan kerajaan.