
Sebelum wabak Covid-19 melanda, pihak yang ingin mengupah pembantu rumah warga Indonesia perlu membayar antara RM15,000 dan RM16,000. Kira-kira RM10,000 hingga RM12,000 daripada jumlah itu disalurkan kepada agensi pekerjaan Indonesia, menurut Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia Foo Yong Hooi.
Beliau berkata, ejen Malaysia menggunakan bakinya untuk pembayaran levi kepada kerajaan, yuran pemprosesan di kedutaan, pengangkutan pembantu rumah dari lapangan terbang, pemeriksaan perubatan, insurans, kontrak pekerjaan dan kos-kos lain.
“Agensi Malaysia meraih keuntungan lebih rendah berbanding agensi Indonesia, tetapi kita perlu melakukan banyak perkara untuk membawa pembantu rumah warga Indonesia ke negara ini,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas gesaan Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto terhadap Putrajaya untuk memberikan pecahan kos terperinci bagi pengambilan pembantu rumah bawah memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Malaysia dan Indonesia.
Difahamkan, kos untuk majikan mengambil pembantu rumah dihadkan kepada RM15,000.
Pengarah dua agensi tempatan yang enggan dikenali juga memberitahu FMT, sebahagian besar daripada yuran yang perlu dibayar oleh majikan Malaysia adalah bayaran kepada perekrut Indonesia.
Salah seorangnya berkata, kos kepada majikan boleh mencecah RM20,000, dengan separuh daripadanya disalurkan kepada ejen Indonesia.
“Ejen Indonesia akan meminta kira-kira RM10,000, dan mereka enggan memberi pecahan (kos),” katanya
“Di Malaysia, setiap ejen mengenakan caj berbeza untuk menampung kos seperti yuran perkhidmatan, tiket penerbangan, insurans, levi, pemeriksaan perubatan dan bayaran pengangkutan jika pembantu-pembantu rumah ini tiba di Johor atau Kuala Lumpur.”
Seorang lagi ejen juga berkata, ejen Indonesia enggan memberikan pecahan kos pengambilan pekerja di pihak mereka, berbanding agensi pekerjaan swasta Malaysia yang bersedia mendedahkannya.
Beliau berkata, kos mengupah pembantu rumah warga Indonesia adalah sekitar RM15,000 sebelum wabak, namun wujud pasaran bebas.
“Terdapat ratusan ejen Indonesia, dan setiap ejen menetapkan harganya sendiri. Kerajaan Indonesia tidak boleh mengawal kos.
“Jika ia (mengawalnya), akhirnya tiada pihak yang akan membekalkan pembantu rumah dari negaranya,” katanya.