
UiTM berkata, mesyuarat lembaga pengarah universiti semalam memutuskan Roshana Takim direhatkan daripada tugasan pengajaran mulai hari ini sehingga siasatan selesai.
“Keputusan ini dibuat bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara berkesan dan teratur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tonton video di sini.
Baru-baru ini, tular di media sosial rakaman kelas dalam talian yang memaparkan seorang pensyarah mengherdik penuntutnya kerana tidak mempunyai komputer riba serta meminta penuntut sama menyuruh kakaknya menggadai emas bagi membeli peralatan tersebut.
Susulan itu, satu dokumen dalaman UiTM, iaitu laporan kronologi siasatan berhubung kejadian itu turut tersebar dan institusi pengajian tinggi awam itu telah membuat laporan polis semalam bagi melindungi mahasiswa dan kakitangannya.
Hari ini, UiTM berkata, ia memandang serius dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat sulit secara sengaja atau tidak, yang boleh menjejaskan imej, nama baik dan menggugat keselamatan warga UiTM.
Katanya, ia juga melaporkan kepada pihak berkuasa, jika ada pihak berkongsi hantaran mengelirukan.