
Katanya, semua pihak memberi kerjasama baik dan memudahkan tugasan polis serta agensi penguatkuasaan lain dalam mengawal pintu sempadan negara.
“Keadaan sangat terkawal. Kita telah pastikan setiap penugasan pegawai kita (di pintu sempadan) untuk mengelak berlaku perkara tidak diinginkan, khususnya di pintu masuk utama seperti di Tambak Johor, utara negara dan sempadan Kelantan.
“Cuma apa kita perhatikan sesak sikit di sempadan Johor, tapi semua pihak memberi kerjasama memudahkan pihak polis dan lain-lain agensi dalam mengawal selia supaya pergerakan lancar,” katanya selepas menghadiri Majlis Apresiasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Beliau mengingatkan orang ramai yang ingin melakukan perjalanan ke luar negara supaya sentiasa mengemas kini perkembangan dari semasa ke semasa berhubung keputusan dibuat kerajaan bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Awal bulan lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara dibuka kepada pengembara antarabangsa mulai hari ini sejajar fasa peralihan ke endemik.
Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan tiga perkara asas, iaitu panduan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.