Operasi roboh di Kg Jawa lancar, terkawal

Operasi roboh di Kg Jawa lancar, terkawal

Polis berkata tiada tangkapan setakat ini dan mereka sentiasa membuat persiapan bagi memastikan keadaan terkawal.

Shazeli Kahar
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata sepanjang operasi bermula pagi tadi, masyarakat setempat memberi kerjasama baik. (Gambar Bernama)

‎SHAH ALAM: Operasi perobohan kediaman di Kampung Jawa, Klang bagi projek Seksyen 3 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) terkawal dan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

‎‎Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata sepanjang operasi bermula pagi tadi, masyarakat setempat memberi kerjasama baik dengan polis menempatkan jumlah keanggotaan mencukupi bagi kawalan ketenteraman.

‎‎”Saya ucapkan terima kasih, tiada tangkapan setakat ini dan pihak polis sentiasa membuat persiapan bagi memastikan keadaan terkawal,” katanya pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor di sini.

‎‎Sebelum ini, Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah, dilaporkan berkata kerajaan negeri bersetuju memberi tambahan masa dua minggu mulai 10 Nov hingga 24 Nov kepada 19 penduduk Kampung Jawa terbabit dalam arahan mengosongkan tanah bagi kerja pembinaan itu.

‎‎Pada 3 Nov lalu, Borhan berkata, kerajaan negeri memberi tujuh hari (hingga 10 Nov) kepada penduduk mengosongkan tanah selepas dipersetujui dalam mesyuarat bersama penduduk dan agensi berkaitan, antaranya WCE, Pejabat Tanah Galian Selangor serta pihak berkuasa tempatan.

‎Sebelum ini, media melaporkan keengganan 19 pemilik tanah di Kampung Jawa mengosongkan kediaman membabitkan jajaran 150m menjadi punca utama projek Lebuhraya WCE yang kini lebih 90% siap tergendala.

‎Lebuhraya WCE projek infrastruktur utama negara membabitkan rangkaian sepanjang 233km yang dirancang bagi menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping, Perak serta turut berfungsi sebagai laluan alternatif ke Lebuhraya Utara-Selatan bagi mengurangkan kesesakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.